Thursday, August 25, 2016

MALAYSIA::Diskriminasi Wanita Hamil Wajar Dihentikan


Diskriminasi Wanita Hamil Wajar Dihentikan Beri Peluang Seimbang
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
DALAM beberapa hari lagi negara akan meraikan ulang tahun ke-59 Hari Kemerdekaan. Di sebalik keriangan yang terpancar di wajah rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, hasil kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menunjukkan adanya diskriminasi dan penindasan dilakukan ke atas wanita hamil di sektor swasta dari segi dibuang kerja, disekat kenaikan pangkat, diberhentikan kerja dan tempoh percubaan dilanjutkan. Ia bertentangan dengan semangat Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang berat hasil kajian WAO. Hasil kajian dan syor-syor yang disenaraikan memerlukan tindakan banyak pihak khususnya majikan. Pada pandangan MTUC kes-kes ini bukan sesuatu yang abnormal. Ia telah beberapa kali dibawa ke perhatian MTUC. Pekerja-pekerja wanita didiskriminasi sedangkan peruntukan perundangan telah menggariskan ketetapan sebaliknya, di mana setiap pekerja tidak kira gender wajar harus diberi ruang pekerjaan dan penggajian sama rata demi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.


Sebarang bentuk tindakan memberhentikan, menurunkan pangkat, atau tidak menggaji atau menaikkan pangkat seseorang wanita bekerja kerana hamil adalah suatu diskriminasi gender.

MTUC juga menerusi kesatuan gabungan pernah menerima aduan sedemikian dan aduan-aduan berkenaan telah dibawa ke perhatian majikan terbabit dan juga Kementerian Sumber Manusia. Kajian WAO juga membuktikan masalah yang sama wujud dengan ketara. Isu ini tidak patut wujud ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi.

Dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, masalah seperti ini tidak wajar wujud. Lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang berusaha mewujudkan sistem kerja anjal atau fleksibel bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai dunia pekerjaan.

Majikan tidak sewajarnya mendiskriminasi wanita yang mengandung dalam pekerjaan. Sebaliknya pihak majikan harus menyediakan kemudahan-kemudahan sewajarnya dan sesuai bagi meningkatkan peratusan wanita yang bekerja di sektor swasta sejajar dengan kehendak era semasa. Sekiranya kemasukan wanita yang bekerja disekat dari awal, ia akan menjejaskan usaha kerajaan ingin menambahkan nisbah wanita di peringkat membuat dasar dalam jangka panjang dan negara akan kehilangan pekerja-pekerja berkualiti dan berproduktif.

MTUC, sebagai satu badan tunggal memperjuangkan kepentingan pekerja negara ini, juga berpandangan bahawa satu dasar atau undang-undang yang tegas perlu digubal bagi mengelakkan isu dan masalah yang sama daripada berulang.

MTUC juga berpandangan bahawa sekiranya isu ini tidak diatasi secara perundangan ia akan membawa kepada pergantungan berterusan ke atas pekerja-pekerja asing, sekali gus merugikan negara dalam jangka panjang.
MTUC sedia membantu mana-mana pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan. MTUC berharap pekerja-pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan akan menghubungi ibu pejabat MTUC untuk mendapatkan khidmat nasihat dan  sokongan sewajarnya.

Sebagaimana disebutkan oleh Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif WAO, setiap wanita hendaklah bebas untuk memilih bila mereka mahu mempunyai anak. Mereka tidak perlu takut kehilangan pekerjaannya hanya kerana mahu memiliki keluarga sendiri manakala pembuat dasar di Malaysia perlu memastikan majikan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap wanita hamil.

Perlembagaan Persekutuan dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) melarang diskriminasi gender. Apabila majikan menghukum wanita semata-mata kerana mereka mahu melahirkan anak, mereka telah melanggar hak-hak asasi wanita. Secara khusus, wanita mempunyai hak untuk mempunyai keluarga, hak untuk bekerja, dan hak untuk mendapat penilaian dan ganjaran yang sewajarnya.

Malaysia telah meratifikasikan CEDAW pada tahun 1955. Bagaimanapun, sebagaimana sedia maklum, masih belum lagi melaksanakan kebanyakan perkara dalam konvensyen itu dalam bentuk penguatkuasaan perundangan. Oleh itu kita tiada pilihan lain kecuali menguatkuasakan peruntukan-peruntukan yang digariskan.

Sebagaimana ditegaskan oleh WAO sudah sampai masa negara menggubal satu undang-undang kesaksamaan jantina bagi melindungi semua pekerja wanita, termasuk di sektor swasta.

Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan jelas dan tegas menyebut bahawa peranan golongan wanita bukan sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia, tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi. Malah kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54 peratus pada tahun 2014 kepada 59 peratus menjelang tahun 2020. Kerajaan juga berkomited untuk terus melaksanakan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30 peratus dalam  sektor awam dan swasta.

Pihak majikan perlu membuang sama sekali dasar diskriminasi dalam soal pengambilan pekerja wanita. Sebaliknya majikan harus menggunakan dengan optimum tenaga kerja kalangan kaum ibu. Dasar diskriminasi ke atas pekerja hamil hanya akan merugikan negara dalam jangka panjang.


PEKERJA BERSATU RAKYAT MAJU



N.GOPAL KISHNAM

Setiausaha Agung

No comments:

Post a Comment