Friday, August 19, 2016

MALAYSIA:::MTUC Mohon Diskriminasi ke atas Wanita Hamil Dihentikan, Diberi Hak Seimbang‎ ‎

MTUC/2202

17hb Ogos 2016
Kenyataan Media MTUC

MTUC Mohon Diskriminasi ke atas Wanita Hamil Dihentikan, Diberi Hak Seimbang

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius hasil kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menunjukkan wujudnya diskriminasi dan penindasan dilakukan ke atas wanita hamil dalam sektor swasta
, iaitu melibatkan  pembuangan kerja, kenaikan pangkat dihentikan, diberhentikan kerja dan tempoh percubaan dilanjutkan. Semua tindakan ini adalah bertentangan dengan hak yang terkandung dalam Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Perlembagaan Persekutuan.


MTUC juga menerima aduan dari kesatuan gabungan berkaitan perkara-perkara sedemikian yang telah dibawa ke perhatian majikan terbabit dan juga Kementerian Sumber Manusia. Kajian WAO juga membuktikan masalah yang sama wujud dengan ketara. Isu ini tidak patut wujud ketika negara sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dalam menerajui era globalisasi, di samping kesan signifikan dari ledakan teknologi maklumat. Apatah lagi ketika kerajaan sedang berusaha mewujudkan sistem kerja anjal atau fleksibel bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai pasaran buruh/dunia pekerjaan.

Majikan tidak seharusnya mendiskriminasikan wanita yang mengandung dalam pekerjaan. Sebaliknya pihak majikan harus menyediakan kemudahan-kemudahan sewajarnya dan sesuai bagi meningkatkan peratusan wanita yang bekerja dalam sektor swasta. Sekiranya kemasukkan wanita yang bekerja disekat dari awal, ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk menambah peratusan wanita di peringkat membuat dasar bagi jangka masa panjang dan negara akan kehilangan pekerja-pekerja berkualiti dan berproduktif.
Justeru, MTUC juga berpandangan bahawa satu dasar atau undang-undang yang tegas perlu digubal bagi mengelakkan isu dan masalah yang sama ini daripada berulang.

MTUC juga berpandangan bahawa sekiranya isu ini tidak diatasi secara perundangan ia boleh menjurus kepada kebergantungan berterusan  terhadap pekerja-pekerja asing, sekali gus merugikan negara untuk  jangka masa panjang.

MTUC sedia membantu mana-mana pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan. MTUC berharap pekerja-pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan akan menghubungi ibu pejabat MTUC untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat yang sewajarnya.

PEKERJA BERSATU RAKYAT MAJU

N.GOPAL KISHNAM

Setiausaha Agung
gambar hiasan

No comments:

Post a Comment