Thursday, October 6, 2016

Isu pemberhentian pekerja: Apa majikan perlu tahu? Apa pekerja perlu tahu?

 Isu pemberhentian pekerja mendapat tempat dalam negara kita semenjak akhir-akhir ini. Perkara terbabit tidak mengejutkan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, beberapa syarikat serta organisasi perlu mengambil langkah penyelamatan syarikat serta organisasi mereka dengan melaksanakan langkah pemberhentian pekerja.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia beberapa bulan yang lalu, seramai 38,499 pekerja telah diberhentikan sepanjang tahun lalu berbanding dengan sejumlah 25,917 pekerja yang telah diberhentikan pada tahun 2014, iaitu peningkatan seramai 12,582 pekerja.
Meskipun jumlah pemberhentian pekerja pada tahun lalu merupakan yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, statistik itu adalah lebih rendah berbanding apa yang telah direkodkan pada 2007, 2008 dan 2009 yang masing-masing mencatatkan sebanyak 42,336; 47,145 dan 65,516 pekerja yang telah diberhentikan.
Tidak dapat dinafikan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar pada masa kini, telah menyebabkan sesetengah majikan terpaksa melakukan proses pemberhentikan pekerja terbabit bagi mengurangkan kos pengurusan serta mengelakkan kerugian besar terhadap syarikat mereka.
Namun, perlu diketahui juga terutamnya oleh para majikan, bahawa isu yang melibatkan pemberhentian kerja ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh seperti yang termaktubdalam undang-undang.
Isu periuk nasi
Perlu diketahui juga isu pembuangan kerja ini adalah isusensitif terhadap mana-mana individu pekerja kerana ia melibatkan isu periuk nasi mereka serta tanggungan terhadap ahli keluarga mereka.
Isu pembuangan pekerja terbabit juga boleh menjadi masalah besar bagi mereka yang berusia yang selalunya menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan baru berdasarkankeadaan ekonomi semasa serta persaingan yang dihadapi dengan pekerja muda tempatan serta pekerja luar.
Oleh itu, sebelum proses pemberhentian pekerjaan dibuat, pihak majikan perlu mengambil kira beberapa langkah seperti dengan melakukan usahaperbincangan dengan pihak kesatuan pekerja atau individu pekerja yang bakal diberhentikan terbabit supaya semua pihak dapat meluahkan segala isi hati yang tersimpan tanpa mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain.
Pihak majikan hendaklah terlebih dahulu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang dicadangkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan, iaitu:
(a) Dengan melakukan proses pembekuan pengambilan pekerja baru kecuali bagi bidang-bidang yang kritikal;
(b) Menghadkan kerja lebih masa, menghadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am;
(c) Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja giliran, mengurangkan waktu bekerja harian;
(d) Mengadakan program latihan semula kepada pekerja, mengenal pasti kerja-kerja alternatif dan pertukaran pekerja yang ingin diberhentikan ke bahagian atau kerja lain di dalam syarikat yang sama (proses redeployment);
(e) Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off), misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shut down) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
(f) Menawarkan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) atau pemberhentian tetap pada masa-masa hadapan atau mengurangkan gaji pekerja (pay-cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat sebagai langkah terakhir selepas mengambil langkah penjimatan kos lain.
Proses pemberhentian
Jika proses pemberhentian pekerja terpaksa juga dilakukan, pihak majikan perlu memberi notis serta membayar segala bentuk pampasan atau faedah penamatan kerja kepada pekerja yang layak seperti yang termaktub dibawah Akta Kerja 1955 dan undang-undang buruh yang berkaitan.
Adalah penting untuk pihak majikan ketahui sebarang proses pemberhentian kerja yang ingin dilaksanakan perlu dilakukan dalam proses yang berperingkat.
Pihak majikan juga perlu melaksanakan prinsip FWFO (Foreign Worker - First Out) dalam kategori pekerjaan yang sama dalam memberhentikan pekerja, iaitu pekerja asing diberhentikan terlebih dahulu daripada pekerja tempatan.
Ini juga jelas termaktub melalui Seksyen 60N Akta Kerja 1955 yang menyatakan: “Sekiranya majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerjanya oleh sebab lebihan pekerja, maka majikan itu tidaklah boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan melainkan jika dia telah terlebih dahulu menamatkan perkhidmatan semua pekerjaasing yang bekerja dengannya dalam bidang tugas serupa dengan bidang tugas pekerja tempatan itu”.
Prinsip LIFO
Pihak majikan juga perlu melaksanakan prinsip LIFO (Last - In- First-Out) jika pemberhentian melibatkan pekerja tempatan dan dalam kategori pekerjaan yang sama.
Walau bagaimanapun, majikan juga boleh melaksanakan pemberhentian pekerja berdasarkan kriteria-kriteria tertentu setelah berunding dan mendapat persetujuan dari pihak pekerja atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka.
Perlu diketahui, tiada undang-undang khusus dalam negara kita pada masa kini mengenai isu pemberhentian pekerja. Dua konvensyen utama antarabangsa mengenai isu ini seperti Termination of Employment Convention, 1982 (Konvenyen No. 158) and Termination of Employment Recommendation, 1982 (Konvensyen No. 166) juga belum diratifikasikan oleh pihak kerajaan Malaysia.
Sudah sampai masanya isu pemberhentian pekerja ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari semua pihak bagi memastikan hak dan kebajikan para pekerja dalam negara kita lebih terjamin.

MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


1 comment: