Thursday, October 13, 2016

MENIPU CUTI SAKIT, SATU KESALAHAN ?

Mungkin ramai dikalangan kita yang tidak mengetahui tentang hukuman yang bakal dihadapi bagi kesalahan menggunakan sijil perakuan cuti sakit (MC) palsu.


Mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Jadi, kepada sesiapa yang pernah melakukan pemalsuan ini diharap dapat menghentikannya segera. Sesal dikemudian hari tiada gunanya.
Sebarkan, mudah-mudahan dapat memberi peringatan bersama


MENIPU SAKIT, SATU KESALAHAN RASUAH?



Oleh: Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf

Salah satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) adalah mengemukakan dokumen tuntutan palsu. Seksyen 18 akta itu menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan apabila mana-mana orang mengemukakan dokumen tuntutan (contohnya, pesanan kerajaan, resit dan invoice) yang mempunyai butiran palsu dengan niat untuk menipu prinsipalnya (pejabat/majikan).

Contoh kepada kesalahan ini adalah, seorang kontraktor menuntut bayaran bagi projek yang sebenarnya tidak dibuat atau belum siap. Contoh kedua, seorang pembekal membuat tuntutan bagi 20 kamera DSLR yang kononnya telah dibekalkan. Hakikatnya, beliau hanya membekalkan 20 kamera digital yang harganya jauh lebih rendah.
Selain daripada itu, tahukah anda bahawa mengemukakan sijil saksi atau MC boleh menjadi kesalahan rasuah? Ia merupakan kesalahan di bawah kategori mengemukakan tuntutan palsu.
cuti sakit palsu
cuti sakit palsu
Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana ia boleh termasuk dalam kesalahan tersebut? Ada juga yang secara sinis berkata, “Adakah terdapat kes sebenar yang berlaku? Atau sekadar teori akademik?”
Untuk menjawab soalan-soalan tersebut, mari kita bersama-sama menghayati satu kes otoriti yang melibatkan sijil sakit palsu iaitu Nadimuthu v. Public prosecutor (1972) 1 LNS 96.

Dalam kes ini, Nadimuthu yang bekerja di Malayan Railways (nama lama bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad) telah mengemukakan dua sijil sakit yang diperoleh daripada Lum Dispensary seperti berikut:
  1. Sijil sakit bertarikh 5 Ogos 1968 yang memberi beliau cuti sakit sebanyak sehari; dan
  2. Sijil sakit bertarikh 7 Ogos 1968 yang memberi beliau cuti sakit sebanyak sehari;
Dalam kedua-dua sijil sakit tersebut, beliau dikatakan telah diperiksa oleh Dr. Lum Weng Song (MBBS Hong Kong) yang mengesahkan beliau tidak sihat dan tidak berupaya (unfit) untuk menjalankan tugas pada tarikh berkenaan. Beliau diberikan cuti sakit yang melayakkan beliau menerima gaji penuh.
Kedua-dua sijil sakit berkenaan didapati tidak benar kerana beliau tidak sakit pada tarikh-tarikh berkenaan. Nadimuthu dituduh di mahkamah di bawah seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961. Peruntukan lama ini bolehlah disamakan dengan seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Akhirnya, mahkamah mendapati Nadimuthu bersalah dan didenda $25 bagi setiap pertuduhan. Gaji dua hari yang dibayar semasa beliau ‘cuti sakit’ dibayar balik kepada Malayan Railways. Alasannya beliau telah ponteng kerja tanpa alasan.
Nadimuthu merayu dengan alasan sijil sakit tidak termasuk dalam maksud dalam 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961.
Hakim Mahkamah Tinggi, Y.A Hakim Abdul Hamid telah mengekalkan sabitan dengan alasan berikut:
  1. Dokumen sijil sakit termasuk dalam tafsiran ’other document’ seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961.
  2. Apabila Nadimuthu tidak hadir kerja dengan mengemukakan dua sijil sakit tersebut, sijil tersebut melayakkan beliau diberi dua hari cuti bergaji penuh.
  3. Sijil tersebut juga melayakkan beliau dibayar dua hari gaji oleh Malayan Railways.
  4. Faktor itu menjadikan sijil sakit adalah dokumen yang mempunyai nilai kewangan.
Diharap kes ini dapat memberi iktibar kepada masyarakat agar tidak memandang mudah kepada cuti sakit. Doktor dan pegawai perubatan juga perlu berwaspada agar tidak terlibat sekiranya ada ’pesakit’ yang tidak sakit memohon MC daripada anda.
Akhir sekali, laporkan sebarang jenayah rasuah. Anda boleh lakukan perubahan, perangi rasuah.







9 comments: