Wednesday, November 23, 2016

Selangkah ke alam pekerjaan

TRANSISI dari alam pembelajaran atau universiti ke alam pekerjaan merupakan transformasi yang amat besar bagi para pelajar dan siswazah.
Ia merupakan peralihan fasa di mana anda perlu mempersiapkan diri bukan sahaja dengan pengetahuan sedia ada yang diperolehi daripada pembelajaran malah anda juga perlu lebih peka untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi serta keterampilan diri.
Anda perlu mempersiapkan diri untuk memastikan anda cukup kompetitif dan berdaya saing. Tiga perkara penting yang perlu diambil kira sebelum anda menghadiri sesi temuduga pekerjaan adalah:


Ketahui Siapa Bakal Majikan Anda!
Ambillah inisiatif untuk mengenali bakal majikan sebelum menghadiri temuduga.  Ianya penting supaya anda dapat mengetahui selok belok industri yang bakal disertai. Selain itu, ia juga merupakan satu bonus yang dapat membantu anda untuk lebih memahami peranan anda di dalam sesebuah institusi dan memberikan sumbangan untuk memajukan institusi tersebut.
Ambil sedikit masa untuk membuat kajian seperti melalui internet dengan mengenali sejarah pembentukan syarikat, jenis perniagaan yang dijalankan, maklumat pihak pengurusan atasan serta budaya kerja di institusi tersebut. Ini dapat memberikan anda lebih suntikan keyakinan sebelum melalui sesi temuduga kelak.

Tonjolkan Diri Anda
Anda boleh meyakinkan penemuduga atau bakal majikan untuk mengambil anda sebagai pekerja dengan menyatakan kelebihan serta semua pengalaman yang relevan. Dalam masa yang sama berterus-teranglah dengan kekurangan pengalaman anda yang boleh diperbaiki.
Ini sangat penting kerana jika anda ditawarkan pekerjaan sekurang-kurangnya majikan mengetahui apa yang boleh diharapkan serta mengetahui dan apa pula yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Institusi takaful sebagai contoh, sentiasa mencari peluang untuk memajukan modal insan yang ada dan sentiasa mencari bakat-bakat muda dari insitusi pendidikan tinggi yang dapat membantu untuk melebarkan perniagaan takaful ke seluruh rakyat di Malaysia.
Ini selaras dengan rancangan kerajaan untuk memajukan takaful dan menembusi 75% pasaran di dalam industri insurans hayat dan takaful. Maka ambillah peluang ini untuk menjadi sebahagian dari industri yang sedang berkembang pesat dengan mengenali takaful secara lebih mendalam.

Look good, Feel good
Walaupun penampilan boleh menjadi topik yang sangat subjektif namun begitu tidak dinafikan ianya sangat penting.  Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi di Princeton Janine Willis dan Alexander Todorov, ia cuma mengambil masa 10 saat untuk seseorang membuat tanggapan mengenai anda. Kajian yang telah diterbitkan melalui Psychological Science  July 2006 ini bermakna penampilan anda sangat penting sebelum anda bertutur sepatah perkataan pun!
Tentunya bidang pekerjaan memainkan peranan penting dalam menentukan keterampilan seseorang individu. Sebagai contoh, jika anda dipanggil untuk menghadiri temuduga di institusi perbankan, pastikan anda berpakaian formal dengan mengenakan kemeja, tali leher, tali pinggang, kasut formal serta pastikan rambut tersisir rapi dan kemas.
Bagi wanita pula, anda boleh untuk memilih mengenakan kemeja dan berseluar formal, berskirt labuh atau pun berbaju kurung. Bagi yang memilih untuk berbaju kurung pula, pastikan ianya bertona warna tanah dan natural serta kosong tanpa corak.
Berlainan pula jika anda menghadiri temuduga untuk menjadi seorang chef, pastikan anda menjaga rapi dari sudut kebersihan seperti rambut diikat rapi, kuku dipotong pendek, berpakaian bersih dan kemas. Ini penting kerana kebersihan merupakan asas utama tugasan seseorang chef.
Pilihlah pakaian yang bersesuaian dengan industri yang anda pilih. Sekiranya anda tidak pasti, pilihlah pakaian yang paling formal dan kemas supaya anda tidak nampak janggal.
Selain daripada persediaan sebelum menghadiri temuduga, satu lagi aspek penting yang perlu diingati ialah tanggapan pertama bakal majikan yang akan memberi kesan disepanjang sesi  temuduga berlangsung.
Sejurus selepas mendapat emel atau panggilan telefon berkaitan dengan tawaran temuduga,  berikan pengesahan samada anda akan menghadiri sesi temuduga tersebut. Pastikan anda hadir jika anda sudah membuat pengesahan atau maklumkan kepada penemuduga sekiranya anda tidak dapat hadir.
Masa sangat penting, jadi hormatilah masa yang telah diberikan oleh penemuduga untuk berjumpa anda. Selepas menghadiri sesi temuduga, ucapkan terima kasih dan kongsikan bagaimana pengalaman temuduga tersebut memberikan impak  yang dapat membantu anda secara peribadi.
Berikan masa dua hingga tiga minggu sebelum menghubungi semula untuk mengetahui status permohonan anda dengan bakal majikan anda.

Pengalaman Pertama Bekerja
Pengalaman sebagai seorang pekerja bermula dengan fasa pertama di mana anda ditawarkan pekerjaan dan anda menerima tawaran tersebut. Selepas berada dalam jawatan tersebut,  ambillah masa untuk mempelajari segala selok belok  dan budaya di institusi tersebut.
Dekati majikan anda dan bincangkan latihan yang sesuai yang boleh membantu anda untuk meningkatkan kemahiran dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tidak perlu risau untuk meluahkan apa yang dirasakan kerana ini adalah sebahagian daripada usaha anda untuk membantu memperbaiki diri serta meningkatkan kemahiran. 
Dengan cara ini, anda bukan sahaja memajukan prestasi supaya lebih berdaya-saing, malah anda juga tampak lebih komited dan professional dalam membantu insitusi tersebut untuk lebih maju dan berjaya.
Akhir sekali, carilah insitusi yang mempunyai budaya kerja yang cemerlang, teguh dan selari dengan nilai-nilai murni. Pengalaman kerja anda akan lebih bermakna sekiranya anda dapat mencurahkan usaha yang akhirnya membawa manfaat bukan sahaja kepada institusi tersebut, malah kepada karier anda sendiri serta membawa impak kepada masyarakat.

Selamat Berjaya!
Selangkah ke alam pekerjaan

No comments:

Post a Comment