Wednesday, November 9, 2016

STEM POS KENANG - KENANGAN MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE 25 KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA 1949 - 1974 (MTUC)

HARI INI DALAM SEJARAH

STEM - STEM POS KENANG - KENANGAN MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE 25 KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA 1949 - 1974

Stem stem pos kenang kenangan beharga 20 sen 25 sen dan 30 sen dikeluarkan pada !hb Mei 1975 untuk memperingati Ulang Tahun Ke 25 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia 1949 - 1974.

Butir butir mengenai stem ini adalah seperti berikut :-

Ukuran -

Tiap tiap satu stem berbentuk empat segi bujur ukuran dari lubang ke lubang seperti berikut:- melintang 24 mm tegak 36 mm.

Rekabentuk:-

Rekabentuk adalah sama bagi ketiga tiga stem yang mengambarkan Lambang Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dalam lima warna, biru oren hijau hitam dan merah dan empat gambar menunjukkan pekerja pekerja sedang membuat berbagai bagai kerja.

Warna;-

20 sen - Latar belakang warna oren muda dengan perkataan MALAYSIA dan harga stem bewarna perak.

25 sen - Latarbelakang bewarna hijau muda dengan perkataan MALAYSIA dan warna stem bewarna perak.

30 sen-  Latarbelakang bewarna biru muda dengan perkataan MALAYSIA dan warna stem bewarna perak.

Pelukis: Kerja kerja melukis telah dibuat oleh Malaysian Advestising Services, Kuala Lumpur.

Proses mencetak: Lithography

Kertas: Kertas putih tanpa bertikas air.

Pencetak : Harrisons & Sons Ltd. England.

Tempoh jualan: sehingga stok habis.

Rancangan rancangan bagi penubuhan Persekutuan sebuah Majlis Kesatuan Kesatuan Sekerja telah tercapai apabila satu Persidangan Para Perwakilan Kesatuan Sekerja telah diadakn pada 27hb dan 28hb Februari 1949 dan dihadiri oleh 160 para perwakilan dari 83 buah dari jumlah 165 Kesatuan Sekerja yang berdaftar. Diantara sebilangan orang kenamaan yang telah hadir dan berucap di mesyuarat pertama ini ialah Allahyarham  Datuk Onn bin Jaafar, Datuk Tan Cheng Lock dan Encik R. Ramani.

Mesyuarat itu telah dengan sebulat suara meneguhkan keyakinannya dengan prinsip prinsip rundingan secara sukarela dan aman dalam semua pertikaian perusahaan dan pekerjaan dan membuat perakuan kepada Kerajaan bahawa sudahlah sampai masanya mengambil langkah yang rialistik dan sikap yang bersimpati dalam mengurus perkara perkara mengenai kemuskilan pekerja pekerja. Persidangan telah meluluskan perlantikkan sebuah Jawatankuasa Kerja Kecil dari diantara ahli ahli dengan syarat syarat rujukan seperti berikut:-

a) untuk memeriksa kedudukan kesatuan sekerja dan menentukan apakah langkah kangkah lanjut yang dapat diambil guna menubuhkan hubungan yang lebih baik diantara kesatuan dengan kesatuan.

b) untuk menimbangkan apakah jenis jentera dan pertubuhan yang dapat dimaju yang membolehkan rundingan dan perbincangan biasa diadakan diantara pergerakkan kesatuan sekerja dan wakil wakil buruh yang berkhidmat dalam berbagai bagai badan Jawatankuasa Kerajaan.


Wakil wakil dari 111 Kesatuan telah berkumpul bagi Persidangan Kedua Para Perwakilan Kesatuan Sekerja Malaya yang diadakan pada 25hb dan 26hb Mac 1950 di Kuala Lumpur, Perjumpaan ini adalah satu satunya yang mempunyai makna istimewa kepada pergerakan buruh dalam Negara dan telah diperhatikan dengan begitu minatnya oleh pihak pihak Berkuasa Penjajah. Persidangan ini bermula dengan kenyataan yang mengalakkan bila Encik M.P Rajagopal, Pengerusi Pertama Persidangan Perwakilan Kesatuan Sekerja Malaya berkata “tahun itu adalah menunjukkan pengakuannya kian bertambah keatas taraf kita sebagai sebuah pertubuhan sosial yang bertangongjawab dan pengitirafan bahawa pergerakkan kita hendaklah dirundingkan atas semua perkara melibati kebajikan kaum pekerja.”

Fahaman optimis ini telah disokong oleh Encik Mohd Nasir bin Bidin yang berikrar hendak berkerjasama dengan Kerajaan guna meninggikan lagi hubungan baik antara majikan dan pekerja. Beliau menambah bahawa “kami adalah juga teguh dibelakang Kerajaan dalam usahanya hendak menamatkan darurat yang ada sekarang” Menegaskan arahan yang diambil oleh Persidangan itu adalah untuk pekerja dalam lingkungan keadaan masyarakat di waktu itu.

Persidangan itu menjelaskan bahawa ia tidak sanggup menerima pendapat bahawa sedikit sahaja yang dapat dibuat bagi memperbaiki kaum pekerja, seperti mana ikrar taat setia pekerja kepada Malaya yang dilafazkan oleh Encik Rajagopal beliau juga mengistiharkan bahawa Persidangan akan bekerja untuk memperbaiki lagi taraf sosial pekerja.

Kata kata pengalak juga datang dari jaguh jaguh pergerakkan kesatuan sekerja dalam Negara seperti Datuk Onn bin Jaafar, Datuk Tan Cheng Lock dan Encik R Ramani yang telah dijemput untuk berucap di Persidangan itu. Datuk Onn yang merasmikan Persidangan mengakui bahawa Negara banyak berhutang budi dengan ketabahan dan keteguhan kaum pekerja dan pemimpim pemimpin buruh yang teratur. Beliau menyatakan “Masa depan Malaya masih dalam pembinaan dan buruh serta kesatuan kesatuan sekerja adalah faktor faktor yang penting dalam mencipta sebuah Negara Malaya yang stabil dan berkerajaan sendiri yang demokratik.”

Datuk Tan meneguhkan keyakinannya dalam pergerakkan itu dan juga berharap bahawa kesatuan sekerja dapat menjadi satu tenaga yang stabil yang sanggup menerima tugas yang menbina dan keriatif dalam susunan perusahaan.

Dalam menegaskan keperluan sifat pimpinan yang paling tinggi dalam kesatuan sekerja, Encik R Ramani mengesa bahawa pemimpin pemimpin kesatuan lebih bergiat lagi dan tidak gentar dengan ancaman ancaman dari mana mana pihak. Perutusan perutusan yang membawa ucap selamat juga datang dari sebilangan pegawai kerajaan masa itu, dan dari kesatuan kesatuan United Kingdom, Encik Malcom MacDonald, Pesuruhanjaya Agung bagi United Kingdom di Tenggara Asia menyanjung tinggi keputusan untuk menubuhkan Majlis Kesatuan Sekerja Malaya sebagai satu langkah ke hadapan.

Sejak mula lagi Kongres Kesatuan Sekerja Malaya telah melibatkan dirinya dalam segala kegiatan Pergerakkan Kesatuan Sekerja kedua duanya Kebangsaan dan Antarabangsa. Tiga orang dari perwakilannya telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Persediaan mengenai “Persidangan Buruh Dunia Bebas” - dari 28hb November hingga 9hb Disember 1949 di London, dimana membuat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia sebuah gabungan penaja Persekutuan Antarabangsa Kesatuan Kesatuan Sekerja Bebas.

Dalam tahun tahun yang terkemudian, sementara mengekalkan perkataan asalnya MTUC pertubuhan itu telah menukar tajuknya kepada :Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.”

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, adalah satu sahaja Pertubuhan Kesatuan Sekerja Kebangsaan di Malaysia. Ia menyokong prinsip prinsip asasi kebebasan dan kemerdekaan individu dan persatuan dalam satu masyarakat demokratik bebas, Ia percaya dengan kesatuan sekerja yang bebas demokratik dan bertangongjawab, kewajipannya adalah meninggikan dengan giatnya taraf taraf hidup yang sempurna bagi semua golongan pekerja pekerja Malaysia tidak memilih bangsa, warna kulit dan jantina.

Tujuan KKSM seperti dinyatakan dalam Perlembagaannya menghendaki Pertubuhan itu;-

“Untuk membuat apa juga guna memajukan kepentingan semua atau sebarang dari pertubuhan gabungannya atau sebarang apa yang berfaedah bagi kepentingan ahli ahli perseorangan pertubuhan pertubuhan sedemikian yang dahulu dan sekarang.”

“Untuk mernggabung atau menyokong atau membantu sebarang pertubuhan lain yang bukan politik yang mempunyai tujuan yang sama seperti KKSM.”

“untuk memcapai pengaturan yang lengkap bagi semua pekerja samada menolong gabungan gabungannya atau mengambil inisiatif menubuhkan kesatuan kesatuan baru dan menasihat dengan persetujuan pihak pihak yang berkenaan, berlaku sebagai orang tengah dalam pertikaian antara ahli ahli kesatuan gabungan atau antara kesatuan kesatuan sedemikian dan ahli ahlinya atau antara kesatuan kesatuan itu sendiri.”

“Amnya untuk kebaikan ekonomi atau kedudukan sosial pekerja pekerja Malaysia dan memberi mereka bantuan samada atau tidak pekerja pekerja itu masih bekerja atau telah diberhentikan kerjanya.”

Dalam tahun tahun kebelakangan ini KKSM telah menambahkan penglibatannya yang cergas dalam bidang pembangunan ekonomi Negara dengan tujuan utama untuk memajukan peluang peluang pekerjaan. Ia telah mengalakkan gabung gabungannya memulakan enterprise perusahaan, ekonomi dan perniagaan.

KKSM juga telah bermula sejak dari masa darurat di tahun 1949, Keahliannya telah bertambah berlipat ganda dan telah meningkat hingga setengah juta. Ia mempunyai kompleks bangunan moden di Petaling Jaya dan diantara berbagai perkhidmatan yang diberikan kepada kesatuan kesatuan yang bergabung dengannya ialah berbagai kemudahan latihan,iktisas dan penyelidikkan yang seringkali didakan.

Perayaan Jubli Perak KKSM telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Haji Abdul Razak bin Hussain pada 1hb Mei 1974, Diantara banyak pemimpin pemimpin Buruh Dunia yang hadir di upacara ini ialh Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa Encik Francis Blanchard dan Setiausaha bagikawasan Asia, ICFTU Encik V.S Mathur.


Disalin semula dari risalah didalam sampul surat hari pertama Setem Pos Kenang Kenangan MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE 25 KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA, 1949 - 1974
Tanpa ada sebarang perubahan dari segi ayat dan susunan tatabahasa.

Salam salam solidarity
Mohamad Fauzi Bin Ibrahim.
Penolong Setiausaha KKSM/MTUC Bahagian Pulau Pinang.
9hb November 2016.

PENUBUHAN KONGRES KESATUAN SEKERJA (MTUC)

Tarikh Peristiwa : 26-03-1950


Pada hari ini dalam tahun 1950, Kongres Kesatuan Sekerja Malaya atau Malayan Trade Union Congress (MTUC) ditubuhkan dalam Persidangan Kali Kedua Perwakilan Kesatuan Sekerja Malaya yang telah diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur dan dihadiri oleh kira-kira 300 orang wakil dari 111 persatuan sekerja. Turut hadir dalam majlis ini ialah Dato Onn Jaafar, Dato' Tan Cheng Lock, Encik. R. Ramani dan Mr C. Brazier. Penubuhan Kongres ini adalah hasil dari kajian yang telah dibuat oleh satu jawatankuasa yang dibentuk pada bulan Februari 1949 dengan tujuan untuk mewujudkan hubungan yang rapat di antara Persatuan-persatuan Sekerja dan menimbangkan kemungkinan wujudnya satu badan yang dapat menjadi saluran bagi merapatkan hubungan serta melahirkan kerjasama di kalangan persatuan pekerja. Hasil kajian dan cadangan jawatankuasa itu telah dibentangkan dalam persidangan pada hari ini dalam tahun 1950. Para perwakilan telah sebulat suara bersetuju dengan cadangan jawatankuasa itu supaya diwujudkan satu majlis Persatuan Sekerja Malaya. Satu jawatankuasa Kerja telah dilantik bagi menjalankan Kongres ini. Mereka ialah:


Presiden - P. P. NarayananNaib Presiden - Che Rahmah binti Mohd. SallehSetiausaha - X. E. NathanBendahari - M. P. RajagopalAuditors - P. Devadason dan Lee Ti KeeTrustees - Ponnudurai, Lionel Val Geyzel, Yap Eng Tee



Di samping itu satu jawatankuasa Pusat (Central Committee) telah dilantik yang terdiri daripada; V.M.N. Menon, John Emmanuel, Abidin bin Abdul Rahman, P.K.R. Kurup, B. Ungajar Singh, Tan Tuan Boon, P. Perumal, V. Ramanathali, A. Arulnathan. Dengan tertubuhnya Kongres ini maka wujudlah saluran bagi Persatuan-Persatuan Sekerja yang telah bergabung di bawahnya bagi menjamin hak-hak mereka sebagai pekerja.
sumber::http://hids.arkib.gov.my

Persidangan Kongres Kesatuan Sekerja Malasyia Dan Perletakan Batu Asas Bangunan Buruh

Tarikh Peristiwa : 10-12-1965

Pada hari ini dalam tahun 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, telah merasmikan Persidangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Upacara itu telah diikuti dengan perletakan batu asas Bangunan Buruh di Petaling Jaya. Projek pembinaan bangunan buruh itu, menelan belanja berjumlah $1/2 juta. Persidangan itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 orang perwakilan dari 90 buah Kesatuan Sekerja yang bergabung dengan MTUC termasuk pemerhati-pemerhati dari negara luar. Di upacara itu, Tun Abdul Razak telah menyampaikan pingat sebagai tanda penghargaan kepada tiga orang yang berjasa dalam gerakan Kesatuan Sekerja. Mereka ialah Prof. Ungku Aziz, En. V.E. Jessudose dan En. K. Duraipa pegawai pelajaran MTUC. Dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak telah menyeru Kesatuan Sekerja di negara ini supaya bekerjasama membantu kerajaan menjayakan Rancangan Pembangunan Malaysia Pertama demi meninggikan lagi ekonomi dan taraf hidup seluruh rakyat. Menurut beliau lagi, kerajaan telah menggalakkan penanaman modal dari luar negera dalam usaha memperbaiki beberapa kekurangan di bidang teknologi. Di samping itu, ia juga dapat memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Sesungguhnya dengan persidangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan perletakan batu asas Bangunan Buruh pada hari ini dalam tahun 1965 membuktikan hubungan erat dan kerjasama di antara Kesatuan Sekerja dengan kerajaan adalah perlu dalam memastikan matlamat Rancangan Pembangunan Malaysia Pertama tercapai.

sumber:::http://hids.arkib.gov.my

No comments:

Post a Comment