Friday, February 24, 2017

Lebih 37,600 pekerja diberhentikan pada 2016

Seramai 37,699 orang pekerja diberhentikan pada tahun lepas dengan 39.4 peratus diberhentikan secara pemberhentian sukarela (VSS) manakala 60.6 peratus melalui pemberhentian biasa.
Kementerian Sumber Manusia berkata berdasarkan statistik pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), majoriti pemberhentian melibatkan 32,552 pekerja tempatan (86.3 peratus) manakala bakinya merupakan pekerja asing.
"Jumlah pemberhentian pekerja bagi tahun lepas sebenarnya adalah lebih rendah berbanding 2015," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya pada 2015, seramai 44,343 orang terlibat dengan 19,891 orang (44.9 peratus) melalui VSS dan 24,452 orang (55.1 peratus) melalui pemberhentian biasa.
Kementerian itu berkata pemberhentian tertinggi pada tahun lepas berlaku dalam sektor pembuatan iaitu 45.9 peratus diikuti sektor perdagangan borong dan runcit (20.7 peratus); kewangan dan insurans (12.1 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (6.6 peratus).
"Ini berbeza dengan pemberhentian bagi 2015 yang didominasi oleh sektor kewangan dan insurans (39.8 peratus); diikuti sektor pembuatan (20.8 peratus) dan sektor pengangkutan dan penyimpanan (14.7 peratus) berikutan isu pemberhentian pekerja oleh MAS," katanya.
Majikan diwajibkan memaklumkan kepada JTK satu bulan lebih awal jika ingin memberhentikan pekerja, kata kementerian itu.
Menurut kementerian itu tindakan pemberhentian pekerja lazimnya berlaku akibat penutupan syarikat atau berlebihan pekerja antaranya kerana penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi dan pengambilalihan syarikat.
Dalam menangani isu pemberhentian pekerja, kementerian itu menubuhkan 1Malaysia Outplacement Center (1MOC) di bawah Pembangunan Sumber Manusia Bhd yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi pekerja warganegara yang diberhentikan kerja.
"Antara perkhidmatan yang disediakan ialah khidmat nasihat, kaunseling kerjaya dan perancangan serta sebagai platform bagi suai padan permohonan pekerjaan dan latihan bagi mempersiapkan mereka untuk kerjaya yang seterusnya," katanya.
Pekerja di sektor pembuatan paling ramai diberhentikan kerja.
Pekerja di sektor pembuatan paling ramai diberhentikan kerja.

No comments:

Post a Comment