Sunday, January 20, 2013

Gaji minimum di stesen minyak buka peluang kerja - Nasional - Sinar Harian

Gaji minimum di stesen minyak buka peluang kerja - Nasional - Sinar Harian

20 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Peraturan gaji minimum RM900 yang akan dilaksanakan di lebih 3,000 stesen minyak di seluruh negara awal tahun ini mendapat reaksi berbeza di kalangan pekerja tempatan dan warga asing.
 
Pekerja tempatan berharap langkah ini akan dapat menarik minat lebih ramai rakyat tempatan untuk bekerja di stesen minyak dengan pekerja warga asing pula bimbang akan hilang pekerjaan.
 
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman mengumumkan 3,640 pengusaha stesen minyak bersetuju melaksanakan peraturan itu.
 
Katanya kadar gaji minimum sebelum ini antara RM600 dan RM700 akan ditingkatkan sebanyak RM900 bagi Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sabah adalah RM800.
 
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini pula melaporkan kira-kira 50,000 pekerja asing di stesen minyak seluruh negara dijangka diberhentikan tahun ini dengan pelaksanaan gaji minimum tersebut.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak mendapati pekerja tempatan menyokong peraturan itu bagi memberi peluang kepada golongan pemuda tempat mendapat kerja di stesen minyak.
 
Seorang pekerja am di sebuah stesen minyak di sini, Annuar Alias, 74, menyambut baik usaha mengurangkan pekerja asing di stesen minyak kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan terutama golongan muda.
 
"Orang kita juga ramai yang tidak mempunyai pekerjaan, jadi lebih baik jika diberikan kerja dan membantu ekonomi rakyat sendiri sebelum menolong warga luar. Pengambilan rakyat Malaysia juga akan membantu mengurangkan kadar pengangguran," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pengusaha stesen minyak cenderung untuk mengambil warga asing terutamanya dari negara Bangladesh kerana sikap mereka yang rajin serta boleh dibayar gaji yang murah.
 
Penyelia di stesen minyak Shell, Faizul Ahmad, 28, menyokong supaya lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada warga tempatan kerana selain mereka diberikan gaji yang memuaskan sebahagian kecil daripadanya dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dilindungi insurans.

"Mereka yang baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau golongan siswazah yang baru tamat pengajian boleh mengisi kekosongan yang ada dan pada masa yang sama menyimpan wang sementara tidak mendapat pekerjaan tetap," katanya.
 
Sementara itu, pekerja warga asing pula melahirkan rasa bimbang mereka akan diberhentikan apabila tamat kontrak dan terpaksa mencari pekerjaan lain atau pulang ke negara asal.
 
Seorang rakyat Bangladesh, Muhammad Ikhlas, 28, berkata beliau berharap masih dibenarkan untuk bekerja di sini kerana gaji yang diterima membolehkan keluarganya di Dhaka hidup dalam keadaan yang selesa.
 
Muhammad yang telah dua tahun bekerja di sebuah stesen minyak di ibu negara berkata beliau berjimat dalam menggunakan gaji RM900 supaya dapat menghantar RM400 sebulan kepada keluarga.
 
"Wang itu digunakan untuk menampung ahli keluarga seramai lima orang termasuk seorang anak, jadi saya perlu terus mencari wang untuk mereka," katanya, sambil menambah Malaysia ialah negara lubuk rezeki bagi warga asing.
 
Rakan senegaranya, Saddam Hossain, 22, juga berharap tidak diberhentikan kerana wang gajinya digunakan untuk menanggung perbelanjaan ibu, ayah dan dua kakaknya yang masih belum berkahwin yang menetap di Komilla, Bangladesh.
 
Bagaimanapun, Saddam yang telah tiga tahun berada di negara ini berkata beliau akan mencari pekerjaan lain di negara ini jika diberhentikan. - Bernama

No comments:

Post a Comment