Monday, July 22, 2013

Maksud Upah Di Bawah Akta Pekerjaan 1955

Akta-Pekerjaan-1955
Seksyen 2 (Tafsiran):
“upah” ertinya upah pokok dan semua pembayaran lain dengan wang tunai kepada seorang pekerja bagi kerja yang dibuat mengikut kontrak perkhidmatannya tetapi tidak termasuk –
(a) nilai mana-mana mana-mana tempat tinggal atau bekalan apa-apa makanan, minyak, lampu atau air atau rawatan perubatan atau mana-mana kemudahan atau perkhidmatan yang diluluskan;
(b)   apa-apa caruman yang dibayar oleh majikan sendiri kepada mana-mana kumpulan wang pencen, kumpulan wang simpanan pekerja, skim pemberhentian kerja, mengurangkan pekerja, penamatan, rentikan sementara atau skim persaraan, skim jimat-cermat atau mana-mana kumpulan wang lain atau skim yang ditubuhkan untuk faedah dan kebajikan pekerja.
(c)    apa-apa elaun perjalanan atau nilai apa-apa konsesi perjalanan;
(d)  apa-apa jumlah yang kena dibayar kepada pekerja untuk menanggung perbelanjaan-perbelanjaan khas yang diperlukan olehnya kerana jenis perkerjaannya;
(e)  apa-apa ganjaran yang kena dibayar atas pemberhentiaan atau persaraan; atau
(f) apa-apa bonus tahunan atau mana-mana bahagian dari apa-apa bonus tahunan.
Tempoh Dan Masa Pembayaran Upah
Seksyen 18 Akta Pekerjaan mewajibkan majikan agar membayar upah pekerja sekurang-kurangnya sekali bagi setiap satu bulan. Majikan boleh membayar lebih kerap namun tidak boleh kurang dari apa yang telah ditetapkan. Tempoh itu tidak semestinya mengikut bulan kalendar. Majikan boleh membayar bagi tempoh kerja 15hb hingga 14hb bulan seterusnya sebagai contoh atau bagi tempoh kerja 10hb hingga 9hb bulan seterusnya. Namun, setelah tempoh dan masa pembayaran itu telah ditetapkan, majikan HENDAKLAH membayar upah TIDAK LEWAT dari 7 hari selepas tempoh itu berakhir [Seksyen 19 Akta Pekerjaan 1955] kecuali jika majikan dapat memuaskan hati Ketua Pengarah (Jabatan Tenaga Kerja) yang pembayaran itu tidak dapat dibuat atas sebab-sebab yang munasabah.
Menurut Seksyen 25 (1) pula, bayaran gaji hendaklah dibuat dalam NILAI YANG SAH. Ini bermakna di Malaysia, upah hendaklah di bayar dalam RINGGIT MALAYSIA. Ia juga hendaklah dibayar dalam bentuk TUNAI, namun Seksyen 25A pula membenarkan upah dibayar dalam bentuk cek atau ke dalam akaun bank pekerja, tertakluk kepada kebenaran pekerja. Pekerja boleh menarik balik persetujuan ini dengan member notis 4 minggu dengan ALASAN YANG MUNASABAH.
Pendahuluan Upah
Terdapat majikan-majikan terutamanya yang pekerja mereka berpendapatan amat rendah seperti di tapak-tapak binaan memberikan wang pendahuluan bagi pekerja mereka. Walaupun ini dibenarkan oleh Akta, namun  Seksyen 22 Akta Pekerjaan 1955 ada menyatakan bahawa majikan TIDAK BOLEH dalam mana-mana satu bulan memberi pendahuluan pada pekerja MELEBIHI JUMLAH UPAH yang diperolehi oleh pekerja itu pada bulan sebelumnya kecuali:
a)    bagi membolehkannya membeli, membina atau membaiki sebuah rumah;
b)    bagi membolehkannya membeli tanah;
c)    bagi membolehkannya membeli ayam itik;
d) bagi membolehkannya membeli sebuah motokar, motorsikal atau basikal;
da) bagi membolehkannya membeli syer perniagaan majikan itu yang ditawarkan untuk jualan oleh majikan itu;
e)    bagi mana-mana tujuan lain:
(Rujuk Seksyen 22 (e) (i), (ii) dan (iii) – yang mana permohonan dibuat dan kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah telah diperolehi.
Keutamaan Upah
Setiap majikan mesti membayar upah pada pekerjanya apabila kerja tersebut telah selesai (Rujuk Seksyen 15 (1) Akta Pekerjaan 1955). Kegagalan berbuat demikian adalah satu perlanggaran pada terma kontrak. Mengikut Seksyen 31pula, jika harta majikan atau orang yang bertanggungjawab membayar upah pekerja dijual dengan perintah mahkamah atau wang mereka dibekukan, pihak mahkamah akan memastikan mana-mana wang yang perlu dibayar kepada pekerja empat bulan upah dibayar lebih dahulu sebelum bayaran kepada mana-mana pemiutang bercagar dibuat.
Potongan Terhadap Upah
Potongan terhadap upah TIDAK  BOLEH DI BUAT SESUKA HATI MAJIKAN danperlu mengikuti peruntukan Akta Pekerjaan 1955. Menurut Seksyen 24 Akta Pekerjaan 1955, majikan dibenarkan membuat potongan terhadap upah dalam keadaan-keadaan yang berikut:
a)   Potongan-potongan hingga setakat apa-apa bayaran lebih yang dibuat atas kesilapan majikan dalam masa tiga bulan sebelum itu; [Contoh: A menerima gaji sebanyak RM 1,300 atas kesilapan majikannya dari bulan Januari hingga Mei 2011. Gaji A sebenarnya hanyalah RM 1,100 sahaja. Pada bulan Jun, majikan A tersedar akan kesilapan mereka itu lalu ingin membuat potongan kepada gaji A. Berdasarkan peruntukan pada Seksyen 24, majikan A hanya boleh memotong sehingga 3 bulan ke belakang sahaja iaitu Mac, April dan Mei sahaja. Potongan bagi kesilapan bulan Januari dan Februari adalah tidak dibenarkan dan salah di sisi undang-undang.
b)  Potongan-potongan bagi indemniti yang perlu dibayar oleh pekerja kepada majikan di bawah seksyen 13 (1); [indemniti yang perlu dibayar kepada majikan jika pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan di bawah Seksyen 13 (1) Akta Pekerjaan 1955]
c)  Potongan-potongan bagi mendapatkan balik pendahuluan upah yang dibuat di bawah Seksyen 22 dengan tiada faedah yang dikenakan; dan
d) Potongan yang dibenarkan oleh undang-undang bertulis yang lain. [Contohnya: Caruman KWSP, PERKESO dan LHDN]
Di bawah Seksyen 24 (3) pula, majikan boleh membuat potongan upah bagi hal-hal di bawah tertakluk kepada PERMINTAAN BERTULIS dari pekerja:
a)      potongan-potongan berkenaan bayaran kepada sesuatu kesatuan sekerja berdaftar atau koperasi dan persatuan pinjaman untuk apa-apa yuran, ansuran dan faedah atau lain-lain hutang;
b)    potongan-potongan berkenaan dengan apa-apa bayaran bagi apa-apa syer perniagaan majikan yang ditawarkan pada pekerja.
Seterusnya Seksyen 24 (4) Akta Pekerjaan 1955 pula mengariskan potongan-potongan yang tidak boleh dibuat kecuali atas permintaan bertulis pekerja bersama kebenaran bertulis Ketua Pengarah iaitu:
a)   potongan-potongan untuk pembayaran skim pencen, dana simpanan, skim kebajikan pekerja, skim insurans dan lain-lain bayaran faedah pekerja;
b)     potongan-potongan untuk pembayaran semula pendahuluan upah yang dibuat kepada pekerja di bawah Seksyen 22 dimana faedah dikenakan;
c)      potongan-potongan berkenaan dengan pembayaran kepada pihak ketiga bagi pihak pekerja; [Contohnya: bayaran balik pinjaman bank atau bayaran kepada Tabung Haji dan ASB].
d)     potongan-potongan berkenaan bayaran bagi pembelian apa-apa barang perniagaan majikan;
e)     potongan-potongan berkenaan bayaran bagi sewa tempat tinggal dan kos perkhidmatan, makanan dan minuman yang disediakan oleh majikan kepada pekerja di atas permintaan pekerja atau di bawah terma perkhidmatan. [Ketua Pengarah perlu berpuas hati bahawa ianya adalah bagi faedah pekerja].
Seksyen 24 (6) Akta Pekerjaan 1955 – membenarkan majikan membuat potongan terhadap bayaran bagi bahan makanan, bekalan atau barangan lain yag dibeli secara kredit oleh pekerja dari Pertubuhan Koperasi Berdaftar atas permintaan bertulis pekerja dan persetujuan Pengurus Kedai Koperasi.
Seksyen 24 (7) Akta Pekerjaan 1955 – Ketua Pengarah boleh membenarkan mana-mana potongan lain yang dirasakan perlu.
Seksyen 24 (8) dan (9) Akta Pekerjaan 1955 pula menyatakan jumlah besar kesemua potongan TIDAK BOLEH MELEBIHI 50% upah pekerja sebulan (tertakluk pada proviso pada seksyen ini).
Lain-Lain Peruntukan Berkaitan Dengan Upah Dalam Akta Pekerjaan 1955
Seksyen 28 mengariskan beberapa perkara mengenai CARA PEMBAYARAN UPAH. Antaranya, majikan TIDAK DIBENARKAN membayar gaji pekerjanya di kedai minuman keras, tempat hiburan atau stor jualan runcit dan sebagainya.
Di bawah peruntukan pada Seksyen 26 pula, majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat kepada pekerjanya berhubung cara perbelanjaan terhadap upah yang dibayar. Terpulang kepada pekerja bagaimana hendak membelanjakan wang upah yag diterima olehnya.
Seksyen 29 membenarkan majikan membekalkan pekerja-pekerja nya dengan makanan, rumah, minyak, letrik, air dan perkidmatan perubatan atau mana-mana kemudahan yang diluluskan sebagai tambahan kepada upah
Akta Pekerjaan 1955 memastikan kebajikan pekerja-pekerja terjaga dengan sebaiknya. Oleh kerana upah merupakan satu perkara yang amat PENTING kepada pekerja, maka Bahagian III, IV, V dan VI pada Akta Pekerjaan 1955 telah digubal dan mengariskan secara terperinci bagi melindungi pekerja-pekerja. Namun, harus saya ingatkan kembali, sebarang ketidakpuashati atau lapuran mengenai perlanggaran statut ini perlu dilakukan pada saluran yang betul. Saya nasihatkan pekerja-pekerja mendapatkan nasihat pegawai-pegawai di Jabatan Tenaga Kerja jika terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan pada tindak taduk majikan anda.

No comments:

Post a Comment