Friday, November 15, 2013

MALAYSIA:::KESATUAN PEKERJA MAHU SURUHANJAYA TENAGA HENTI CADANGAN PISAHKAN TNB

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Empat kesatuan dan persatuan pekerja
Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menggesa Suruhanjaya Tenaga (EC) untuk
tidak meneruskan cadangan memisahkan syarikat utiliti nasional itu menjadi lima
entiti berlainan.

Kumpulan pekerja tersebut, dalam satu kenyataan bersama memaklumkan mereka
terkejut dan kesal dengan kenyataan terkini EC berhubung cadangan memisahkan
TNB.
"Kenyataan yang dibuat oleh EC itu telah menimbulkan keresahan di kalangan
pekerja TNB. Semua pihak yang berhasrat untuk memisahkan TNB perlu menghormati
dan diminta tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan seperti itu.
"Kami ingin menekankan kepada semua pihak yang berhasrat untuk memisahkan
TNB supaya tidak lagi memainkan isu ini. Kami bersedia mempertahankan TNB dari
dipisahkan dengan apa cara sekali pun," menurut kenyataan itu.
Kumpulan tersebut ialah Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Kesatuan
Percantuman Pekerja-pekerja TNB, Tenaga Nasional Junior Officers Union dan
Persatuan Unit Keselamatan TNB.
-- LAGI
KESATUAN-TNB 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Pada 8 Nov lepas, EC dilaporkan sebuah akhbar mengemukakan cadangan untuk
memisahkan TNB kepada lima entiti berlainan di bawah inisiatif Kawal Selia
Berdasarkan Insentif (IBR) bagi meningkatkan kecekapan operasi firma utiliti
nasional itu.
Menurut laporan itu lagi, cadangan pemisahan tersebut akan memudahkan
pemantauan ke atas setiap akaun unit perniagaan syarikat utiliti nasional
tersebut.
Sehubungan itu, kumpulan kesatuan berkenaan bertindak menghantar surat
kepada EC hari ini bagi menyatakan hasrat melakukan kunjungan dalam masa
terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment