Wednesday, December 11, 2013

MALAYSIA::Gaji seorang pekerja sekolah tidak dibayar hampir setahun berjumlah RM 16,800

Merajuk gaji tidak dibayar
Zaharah menunjukkan gambar Mat Taib yang hilang sejak seminggu lalu.


PARIT BUNTAR - Disebabkan merajuk gaji bulanannya tidak dibayar hampir setahun, seorang kakitangan berstatus kontrak sebuah sekolah, di sini didakwa menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Sebelum didapati hilang, Mat Taib Mustaffa, 63, yang bekerja sebagai pembantu pejabat sekolah sejak lebih 10 tahun lalu, memaklumkan ahli keluarga ingin keluar sebentar ke pekan Parit Buntar pada jam 10 pagi, 1 Disember lalu.



Isteri mangsa, Zaharah Yusof, 51, berkata, suaminya memaklumkan kepadanya untuk pergi bersiar-siar sebentar di Pekan Parit Buntar bersama seorang rakan sekerja.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menelefonnya sejam kemudian bagi memaklumkan akan segera pulang ke rumahnya di Kampung Parit Tok Ngah di sini.

“Bagaimanapun, suami saya masih tidak pulang ke rumah sehingga anak sulung saya, Mohd Ansar, 24, cuba menelefon mangsa bagi mengetahui lokasinya berada.

“Setelah beberapa kali mencuba, suami saya berjaya dihubungi dan dia tetap memberitahu akan kembali pulang ke rumah selepas selesai bertemu rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ziarah Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain di rumahnya di Kampung Parit Tok Ngah, semalam.

Turus serta, Ahli Lembaga Pengurusan SABK terbabit, Nordin Ahmad.

Zaharah berkata, setelah menunggu, suaminya masih tidak pulang ke rumah dan dia memutuskan untuk bertanyakan kepada rakan sekerja suaminya yang dikatakan keluar bersama lelaki itu.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan suaminya hanya meminta rakan sekerja itu menghantarnya ke Hentian Raya Parit Buntar.

“Rakan suami saya juga beritahu suami saya kata ingin ke rumah adiknya di Taiping, Perak.

“Saya segera menyuruh anak-anak saya mengesan ayah mereka di rumah bapa saudara mereka, namun dimaklumkan suami tidak datang ke situ," katanya.

Bimbang dengan keselamatan suaminya, Zaharah segera membuat laporan di Balai Polis Tanjung Piandang pada keesokan harinya.

Wanita itu berkata, penduduk kampung membantunya mengesan suaminya di sekitar daerah Kerian dan Taiping, selain mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin.

“Kami sekeluarga bimbang kerana suami hilang lebih seminggu. Sebelum ini dia pernah meluahkan kekesalannya kerana tidak menerima gaji bulanan sejak Januari lalu.

“Malah, dia juga enggan pergi bekerja sejak seminggu lalu setelah dimaklumkan kontrak perkhidmatannya mungkin ditamatkan pada akhir tahun ini,” katanya.

Zaharah merayu Mat Taib segera kembali ke pangkuan keluarga dan menolak kemungkinan kehilangan mangsa disebabkan berdepan masalah kewangan atau diburu oleh ceti haram.

Tunggakan cecah RM16,800
Sementara itu, Ahli Lembaga Jemaah Pengurusan sekolah terbabit, Nordin Ahmad berkata, masalah tunggakan gaji yang berlarutan hampir setahun mungkin faktor utama Mat Taib menghilangkan diri.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan dengan kakitangannya mendapati, tunggakan gaji warga emas itu berjumlah RM16,800 setelah dia diambil berkhidmat sebagai pembantu pejabat secara kontrak selama setahun dan menerima pakej gaji sebanyak RM1,400 sebulan.

“Pada tahun lalu, mangsa turut mengalami tunggakan gaji bulanan, namun tempoh tunggakan tidak lama dan paling lama pun hanya empat bulan.

“Namun, saya difahamkan kakitangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaa (SABK), gaji mangsa tertunggak menjangkau setahun setelah dia menghadapi masalah dalam penyambungan kontrak perkhidmatan.

“Lebih mengejutkan, punca masalah tidak dikenal pasti setelah ia diputuskan Kementerian Pendidikan dan saya melihat situasi ini amat pelik kerana ia hanya terjadi pada mangsa,” katanya.

Nordin turut difahamkan mangsa merupakan seorang pekerja komited dan beliau hairan dengan kegagalan pihak berkenaan menyelesaikan status pembayaran gaji Mat Taib dengan segera. 

“Isu ini wajar dipandang serius kerana masalah mangsa mungkin turut dihadapi pekerja kerajaan berstatus kontrak yang lain.

“Sekiranya isu sebegini dianggap remeh, saya bimbang lebih ramai kakitangan kerajaan sanggup melakukan kerja tidak sepatutnya akibat tertekan dengan masalah kewangan,” katanya.

Bela kakitangan kontrak
Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain merayu kerjasama polis dan penduduk setempat untuk membantu menjejaki Mat Taib bagi membolehkannya segera pulang ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, pihak kementerian juga wajar mencari jalan menyelesaikan berhubung masalah tunggakan gaji dihadapi Mat Taib demi membela hak warga emas itu.

“Dengan masalah kenaikan harga barang dan tarif elektrik , saya terkejut kerana isu tunggakan pembayaran gaji masih berlaku dalam kalangan kakitangan kontrak.

“Saya berharap kerajaan lebih prihatin dengan kebajikan kakitangan awam, terutama pekerja berstatus sambilan dan kontrak kerana mereka bergantung kepada gaji diterima untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Bagi membantu meringankan beban Zaharah sekeluarga, Abu Bakar menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Abu Bakar berkata, mana-mana pihak atau individu  yang mempunyai maklumat atau menemui mangsa diminta segera menghubungi anak sulung Mat Taib, Mohd Ansar di talian 0111-5478702.


sumber::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment