Thursday, December 19, 2013

MALAYSIA:::Wakil PBB puji Malaysia laksanakan gaji minimum

PBB
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memuji Malaysia kerana melaksanakan gaji minimum, yang katanya, boleh membantu memastikan peningkatan taraf hidup golongan pekerja miskin di seluruh negara.

   
Pelapor Khas PBB mengenai hak terhadap makanan Olivier De Schutter berkata. pengenalan gaji minimum juga boleh membantu memastikan golongan pekerja miskin tidak tersisih dalam usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.
   
Di samping mengalu-alukan pelaksanaan dasar itu sebagai cara untuk mewujudkan pembangunan lebih saksama, De Schutter menyuarakan keprihatinannya tentang kadar gaji minimum yang ditetapkan.
   
"Gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan, masih agak rendah berbanding garis kemiskinan yang ditakrifkan kerajaan sendiri, berdasarkan keperluan asas isi rumah.
   
"Saya berharap Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan akan segera menaikkan kadar gaji minimum ini," katanya dalam sidang akhbar pada akhir lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia di sini hari ini.
 
Dalam kunjungan sembilan harinya untuk menilai pencapaian hak terhadap makanan di negara ini, De Schutter mengadakan rundingan dengan pelbagai kementerian dan berbincang dengan pelbagai pihak dalam masyarakat sivil.
   
Laporan beliau akan dibentangkan pada 10 Mac 2014 di Geneva, Switzerland kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, badan hak asasi manusia antara kerajaan yang mempunyai 47 anggota.
   
De Schutter berkata dalam melangkah ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu memastikan pertumbuhan yang dicapainya tidak mengorbankankan alam sekitar dan hak kumpulan lemah dalam masyarakat seperti masyarakat peribumi dan pekerja pendatang.
   
"Malaysia mencapai kejayaan mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dan mencatat peningkatan bagi semua penunjuk sosioekonomi. Dalam melangkah ke arah mencapai taraf negara berpendapatan tinggi, ia perlu menangani apa yang dikenali sebagai isu pembangunan 'generasi kedua'.
   
Isu pembangunan generasi kedua ini termasuk sistem makanan yang bingkas dan lestari, gaji minimum, perlindungan sosial dan hak penduduk peribumi, katanya.
   
De Schutter juga berharap pertimbangan yang terkandung dalam laporannya akan berguna dalam membimbing kerajaan ke arah mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.  - Bernama


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment