Tuesday, December 17, 2013

PENDIDIKAN:::Senjata cari kerja

Artikel kali ini khusus kepada mereka yang bergelar muda-mudi terutama golongan yang baru melangkah keluar dari alam pendidikan dan mula bekerja.

Inilah waktu yang amat mengujakan apabila anda menempuh alam pekerjaan baru dan mendapat pendapatan daripada hasil usaha sendiri, bekerja. Apabila mendapat gaji di hujung bulan, terasa amat seronok! Bagi mereka yang terdedah dengan pengurusan kewangan yang sihat sejak di zaman belajar, pasti akan faham cara berjimat dan melabur. Namun, ramai antara muda-mudi hari ini tidak bijak dalam kewangan dan sering terjerumus dalam masalah kewangan di awal usia bekerja. 

Masalah utama yang mungkin dihadapi atau bakal dihadapi oleh muda mudi apabila bekerja adalah pasaran pekerjaan yang amat kompetitif. Sekiranya dilihat, jumlah pengangguran dalam kalangan graduan amat tinggi. Ini menunjukkan banyak pilihan pekerja untuk syarikat manakala kurang pilihan syarikat untuk bekerja bagi graduan. Keadaan ini semakin menyukarkan muda-mudi mendapat pekerjaan. 


Apa yang perlu dilakukan oleh graduan adalah menambah skil dan kebolehan diri dalam pasaran pekerjaan. Majikan kini bukan saja melihat pada sijil yang dipegang, tetapi juga dari segi kemahiran insaniah (soft skill) yang dimiliki bakal pekerja. Skil ini adalah aset profesional yang perlu dimiliki untuk lebih kompetitif di pasaran pekerjaan. Apa yang dimaksudkan termasuk kebolehan menyelesaikan masalah, bekerja berpasukan serta fleksibel dalam apa jua perubahan.

Masalah seterusnya yang mungkin dihadapi golongan muda-mudi adalah darah muda yang ingin memiliki segala kemahuan apabila menerima gaji bulanan hingga tiada ruang untuk berjimat. Mungkin ingin memiliki gajet terbaru, fesyen terkini, kereta di luar kemampuan atau makan minum di tempat yang memberi "status" supaya dilihat berjaya.

Amat penting untuk menyedari bahawa pemikiran untuk "enjoy" sementara muda dan banyak lagi masa untuk anda menyimpan di tahun akan datang sememangnya satu pemikiran yang membahayakan. Apa yang dikhuatiri adalah perbelanjaan yang tidak terkawal di usia muda akan menyebabkan masalah kewangan pada tahun akan datang. 

Berbelanja secara bijak sebenarnya satu tabiat. Begitu juga berbelanja tidak terkawal boleh menjadi satu tabiat yang sukar diubah pada masa akan datang. Bukan saja kesukaran dalam mengubah tabiat sendiri, tetapi juga kesukaran mengubah keadaan kewangan yang mungkin dalam kepincangan hasil hutang kad kredit yang terkumpul di awal waktu pekerjaan. Begitu ramai muda-mudi kini yang diisytihar muflis akibat tabiat ini. 

Masalah ketiga adalah tanggapan bahawa tamatnya zaman pendidikan, bererti tamatnya zaman belajar. Bertahun-tahun menuntut ilmu dari bangku sekolah hingga ke kolej atau universiti, setelah selesai, seumpama menarik nafas lega tidak lagi perlu menuntut ilmu. Keadaan ini akan jelas dilihat ketika tahun bekerja apabila kita masih lagi di takuk lama kerana tidak memperbaiki diri sendiri dari segi ilmu dan skil tambahan. 

Zaman informasi dan teknologi kini, anda perlu menambah ilmu dengan pantas supaya tidak ketinggalan. Ilmu dari segi kemahiran insaniah, ilmu kewangan untuk mengurus kewangan dengan lebih baik atau ilmu perniagaan bagi mereka yang minat untuk berniaga dan mendapat pendapatan tambahan. 

Kini, dengan hanya berpegang kepada sijil yang dimiliki ketika di kolej atau universiti, semestinya tidak cukup untuk bersaing dalam pasaran kerja apatah lagi dalam pasaran perniagaan. Setiap hari dan setiap masa, belajar sesuatu yang baru untuk memperbaiki diri sendiri. 

Waktu melangkah ke alam pekerjaan memang amat mengujakan. Jangan jadikan keterujaan itu melalaikan diri sendiri dari segi kewangan! 

No comments:

Post a Comment