Saturday, January 11, 2014

MALAYSIA>>Kos sara hidup meningkat, pusat kaunseling hutang jadi tumpuan



Masih ramai individu bermasalah hutang segan mendapatkan bantuan, kata Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 11 Januari, 2014.Masih ramai individu bermasalah hutang segan mendapatkan bantuan, kata Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 11 Januari, 2014.Sepasang suami isteri berusia dalam 30-an bersama anak kecil mereka menanti dengan sabar di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dengan harapan mereka akan mendapat jawapan kepada masalah kewangan yang menyebabkan mereka tidak lena tidur sejak beberapa bulan lalu.
Johan, yang bekerja dalam bidang IT dan Diana (bukan nama sebenar mereka) mengambil keputusan untuk hadir di pusat kaunseling AKPK di Kuala Lumpur  selepas mendapati diri mereka berada dalam kemelut hutang yang serius.

Dengan dua anak yang perlu ditanggung, keadaan mereka semakin mendesak apabila bank mula menarik semula kemudahan pinjaman mereka dan pasangan itu menyedari bahawa mereka tidak akan dapat membayar hutang mereka dengan gaji bulanan Johan sebanyak RM2 ,000.
Diana berhenti kerja awal tahun lalu untuk meneruskan pelajarannya. Mereka menyangka boleh bergantung dengan pendapatan Johan tetapi pemotongan subsidi minyak September lalu memberi kesan yang cukup besar kepada mereka.
Mereka mendakwa pemotongan subsidi minyak mempunyai kesan domino.
"Barang keperluan rumah turut naik. Kami tidak mampu bertahan.  Kami berpindah ke rumah ibu bapa untuk menjimatkan kos tetapi ia tidak banyak membantu,"  kata Johan kepada The Malaysian Insider.
Kebimbangan mereka berterusan dan beban hutang yang meningkat juga menambah tekanan kepada hubungan pasangan itu.
"Kami selalu bergaduh mengenai wang dan ia menjejaskan perkahwinan kami. Ia menjadi punca utama mengapa kami mengambil keputusan datang ke sini. Kami benar-benar memerlukan bantuan," kata Diana.
Johan dan Diana adalah sebahagian daripada kumpulan yang semakin meningkat, mencari bantuan daripada AKPK,  anak syarikat kepada Bank Negara, yang ditubuhkan pada 2006 untuk "memastikan daya tahan sektor isi rumah dengan menyediakan saluran bagi peminjam untuk mendapatkan nasihat dan bantuan dalam menguruskan kewangan dan hutang mereka".
Sehingga Disember 2013, kira-kira suku juta atau 248,491 orang memohon kaunseling daripada agensi dan daripada jumlah itu, 100,871 mengikuti Program Pengurusan Hutang (PPH).
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian, berkata di bawah PPH kedudukan kewangan semasa mereka akan dipantau untuk membangunkan sebuah "pelan pembayaran balik hutang" dengan kerjasama pemberi kredit.
"Kebanyakan mereka yang datang kepada kami adalah individu berhutang dengan perancangan kewangan yang lemah, jahil dan kekurangan disiplin kewangan. Terdapat juga yang terjejas oleh kenaikan kos hidup,” katanya.
Statistik AKPK mendedahkan kebanyakan “pelanggan”' mereka mempunyai gabungan pinjaman dan hutang kad kredit yang tidak dapat dibayar balik.
"Bagi yang layak mengikuti program PPH, kami membantu berunding dengan pemberi kredit mereka untuk menyusun dan menjadual semula hutang mereka," katanya sambil menekankan bahawa perkhidmatan AKPK adalah percuma.
"Pelanggan juga perlu menandatangani surat komitmen untuk memastikan mereka serius untuk menjayakannya,” katanya.
Sehingga Disember tahun lalu, seramai 4,645 orang berjaya lulus daripada PPH dengan jumlah RM182.5 juta hutang berjaya diselesaikan.
Dengan kos hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik dan kenaikan tol yang akan berlaku serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan tahun depan, Koid menjangka akan berlaku peningkatan kes AKPK.
"Kita boleh melihat bahawa pengguna lebih berhemat dalam perbelanjaan berikutan kenaikan kos sara hidup.
"Walaupun ada kemungkinan peningkatan pelanggan yang datang ke pejabat kami, saya percaya sebilangan besar akan datang untuk mendapatkan kaunseling kewangan," katanya.
Terdapat juga permintaan mendadak dalam bilangan pelanggan yang datang ke 10 pusat AKPK di seluruh negara selepas musim perayaan, Koid berkata, dan ia menunjukkan bahawa ramai cenderung membelanjakan wang di luar kemampuan mereka semasa musim perayaan ini.
Putrajaya mendedahkan bahawa 60 rakyat Malaysia diisytiharkan bankrap setiap hari tahun lalu terutama mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun. Angka itu meningkat daripada 53 orang pada tahun sebelumnya.
Menurut Bank Negara, sehingga April tahun lalu, rakyat Malaysia mengambil sejumlah RM316.3 bilion pinjaman perumahan, RM145 bilion pinjaman kereta, RM55.8 bilion pinjaman peribadi dan RM32.3 bilion pinjaman kad kredit.
Koid sebelum ini berkata, hanya kira-kira separuh daripada pemegang kad kredit di Malaysia membayar lebih daripada jumlah minimum yang diperlukan iaitu sebanyak 5% daripada jumlah hutang kepada bank setiap bulan.
"Tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah jumlah wang yang boleh dijimatkan daripada bunga yang dikenakan jika mereka membayar lebih sedikit sahaja daripada kadar minimum yang ditetapkan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Ketua pegawai eksekutif itu berkata, pendidikan berkenaan kewangan adalah kunci utama mendapatkan status kewangan yang sihat dan selamat serta memperkasakan masyarakat agar tidak jatuh ke dalam "perangkap hutang " tetapi beliau mengakui bahawa Malaysia masih jauh untuk ke tahap itu.
"Kami pernah mengadakan kelas mengenai pengurusan kewangan setiap Sabtu tetapi ia dikurangkan kepada sebulan sekali kerana kurangan sambutan.
"Kami kini sedar bahawa kami yang harus pergi kepada masyarakat dan bukannya meminta mereka datang kepada kami," katanya sambil menambah bahawa hanya 28% daripada mereka yang diisytiharkan bankrap mendapatkan nasihat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia .
Satu lagi kelemahan yang dilihat Koid ialah perasaan malu masyarakat jika dilihat datang mendapatkan bantuan daripada AKPK.
"Ramai yang malu. Jadi mereka lebih suka menderita dalam senyap," katanya.
Ketika diminta memberi nasihat kepada individu yang sedang berjuang meneruskan kehidupan, Koid berkata, keluarga harus duduk bersama dan membincangkan masalah kewangan mereka.
"Jika anda mengambil tindakan jimat cermat seperti mematikan lampu dan kipas, anda masih tidak boleh menyimpan. Rakyat perlu berhati-hati dan sedar mengenai apa yang mereka belanjakan dan apa yang boleh dijimatkan," katanya. – 11 Januari, 2014.

MALAYSIA:::579 belia bawah 25 tahun diisytihar muflis

http://labourbulletin4workers.blogspot.com/2014/10/malaysia579-belia-bawah-25-tahun.html

No comments:

Post a Comment