Saturday, January 11, 2014

MALAYSIA>>Pekerja swasta wajar terima Cola

  • Mohd Azizuddin Mohd Sani
SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat memperkenalkan elaun sara hidup (Cola) kepada sektor swasta seperti yang digesa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah langkah yang sesuai pada masa sekarang untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kerajaan boleh membantu golongan berpendapatan rendah bagi menghadapi tekanan beban hidup dengan membuat dasar berkaitan Cola kepada pekerja yang berkhidmat dalam sektor swasta.

Menurutnya, tempoh ini adalah sesuai untuk kerajaan membuat dasar mengenai perkara itu sekaligus mampu membantu meningkatkan kuasa beli kepada rakyat yang memberi pulangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Elaun sara hidup ini memang sesuai, sudah tiba masanya.

"Kalau kita tengok ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia mereka juga mempunyai kuasa beli yang tinggi.

"Kerajaan boleh buat dasar untuk itu dan bersungguh dalam perkara itu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, mengikut laporan media,  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya syarikat-syarikat swasta memberikan Cola RM300 kepada pekerja-pekerjanya.

Presidennya Khalid Atan berkata, tuntutan tersebut adalah munasabah pada masa kini apabila pihaknya banyak menerima rungutan berhubung beban yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan mendadak kos sara hidup.

"Elaun RM300 ditambah dengan gaji minimum RM900 jika dapat dilaksanakan kerajaan akan dapat mengurangkan beban pekerja yang berpendapatan rendah.

"Kita terima terlalu banyak rungutan, walaupun gaji minimum telah dilaksanakan, persoalan yang timbul adakah jumlah itu relevan lagi dengan keadaan sekarang di mana semua harga barang naik," katanya.

Dalam pada itu, Azizuddin juga berkata, MTUC perlu berusaha untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menjayakan perkara itu.

"Memang kita lihat agak sukar kerajaan nak kuatkuasakan sesuatu kepada syarikat swasta ini, lainlah kalau GLC.

"Tapi jika ada tekanan yang diberikan kepada kerajaan, kerajaan terpaksa mempertimbangkannya," katanya lagi.

sumber:::sinarharian

No comments:

Post a Comment