Sunday, July 20, 2014

MALAYSIA:::Pekerja MAS terjejas teruk ekoran tragedi dua pesawat, kata kesatuan

Pekerja MAS terjejas teruk ekoran tragedi dua pesawat, kata kesatuan

Tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17 sememangnya menjejaskan kira-kira 3,000 ahli Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) terutamanya daripada segi emosi.
Presidennya Ismail Nasaruddin berkata kesemua ahlinya sukar menghadapi tragedi yang menyebabkan 21 rakan sekerja mereka maut dalam tempoh singkat.

"Meskipun ada ahli kami yang meneruskan tugas mereka, namun ada juga dilihat tidak mampu untuk bekerja kerana terjejas dari segi emosi," katanya pada sidang media di lobi, Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.
Katanya, ahli Nufam masih belum pulih daripada kesan tragedi MH370 yang berlaku pada awal Mac. Keadaan bertambah sukar dengan nahas MH17 Khamis lalu.
"Nufam kini melalui tempoh yang mencabar sejak kehilangan MH370," katanya.
Beliau mendedahkan 11 daripada 15 kru dalam pesawat MH17 merupakan ahli Nufam.
Turut melahirkan rasa terkejut dengan tragedi itu, Ismail pada masa yang sama mengutuk pihak yang melakukan perbuatan itu.
Beliau mempersoalkan mengapa pesawat MH17 menjadi sasaran sedangkan laluan itu turut dilalui oleh pesawat lain.
"Kita tuntut jawapan dan kebenaran. Ia mungkin berlaku kerana kelalian pihak berkuasa, kita tidak tahu, dan ia perlu didedahkan," katanya.
Ismail juga berkata bahawa Malaysia Airlines menggunakan laluan udara Ukraine bertahun lamanya tanpa sebarang masalah.
"Terdapat banyak teori dan persoalan adakah memang hasrat untuk membunuh kesemua penumpang.
"Adakah kerana mereka tersilap tembak kerana bentuk dan logo Rusia sama dengan pesawat?" soalnya.
‎Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – 19 Julai, 2014.

No comments:

Post a Comment