Thursday, November 20, 2014

MALAYSIA:::Salah guna media sosial waktu bekerja



IPOH - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Razali Othman mendedahkan, hasil pemantauan oleh Rangkaian Kampus Putrajaya (PCN) mendapati terdapat penyalahgunaan media sosial pada waktu pejabat oleh penjawat awam.

Menurutnya, meskipun media sosial pada masa kini berkembang, penjawat awam perlu sentiasa memelihara integriti perkhidmatan awam semasa menggunakan kemudahan internet yang disediakan.



“Setiap waktu yang diperuntukkan di pejabat perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bagi mengukuhkan lagi kualiti kerja kita.

“Semua penjawat awam juga perlu bertindak bijak dalam perkongsian maklumat di media sosial terutama yang membabitkan kerahsiaan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Taklimat Media Sosial dan Perkongsian Ilmu MH17, semalam.

Dalam majlis itu, peserta turut didedahkan dengan usaha dilakukan Malaysia dalam Misi MH17 yang dikongsi Ketua Penolong Setiausaha bahagian Pengurusan Sempadan Darat, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Khairil Hilmi Mokhtar.

Khairil yang juga Ketua Misi MH17 berkata, andaian dan teori diberikan berhubung insiden seperti yang dipaparkan di media sosial boleh dilakukan mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, akhirnya fakta sebenar yang perlu kita cari dan untuk lakukan itu, ia bukan satu tugas mudah, namun kita tetap komited terhadap usaha itu,” katanya.

Perak merupakan negeri kelima dalam jelajah Media Sosial dan Perkongsian Ilmu MH17 anjuran MKN itu.


sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment