Wednesday, December 3, 2014

MALAYSIA:::Akta MAS beri kekebalan kepada MAS, nafi hak pekerja, kata Nufam

 Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia berkata Akta MAS yang diluluskan di Parlimen minggu lalu menghalang MAS dari diambil tindakan undang-undang oleh pekerja. – Gambar fail, 3 Disember, 2014.
Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia berkata Akta MAS yang diluluskan di Parlimen minggu lalu menghalang MAS dari diambil tindakan undang-undang oleh pekerja.

Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu didakwa memberi kekebalan mutlak kepada MAS dalam hal ehwal pekerja, lapor Sinar Harian hari ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman berkata, ia menghapuskan sama sekali hak pekerja membuat sebarang tuntutan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap MAS.

"Ini memberikan imuniti sepenuhnya kepada syarikat," katanya kepada akhbar itu, sambil mendakwa akta baharu itu bercanggah dengan undang-undang buruh sedia ada.
Akram menggesa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebagai pemilik MAS mengeluarkan semua klausa dalam Akta MAS baharu yang bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955.
"Khazanah menetapkan contoh yang salah dan ia akan memberi isyarat negatif kepada syarikat lain," katanya dipetik Sinar Harian.
Akram mendakwa Khazanah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Nufam sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Khazanah sepatutnya memanggil semua pihak terlibat bagi membincangkan penyelesaian kepada kira-kira 100 kes tuntutan dan kes mahkamah yang difailkan kakitangan terhadap MAS.
"Mereka tidak boleh sewenangnya laksana sesuatu tanpa berunding dengan Nufam. Menang atau tidak, itu hak mahkamah tentukan. Tetapi dengan akta baharu ini, MAS tutup terus peluang pekerja gunakan undang-undang sedia ada," beliau dipetik berkata.
Beliau turut meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem campur tangan bagi menyelesaikan perkara ini dan mengatakan Nufam akan memfailkan aduan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat. – 3 Disember, 2014.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment