Monday, January 19, 2015

MALAYSIA:::CLAB dibenar ambil lebih 100 pekerja asing


PUTRAJAYA - Peranan Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Berhad (CLAB) akan diperkukuh dengan dibenarkan untuk menguruskan pengambilan pekerja asing melebihi 100 orang.
   
Persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan pendatang asing tanpa izin (JKKPA-Pati) kali ke-13 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.


   
Dalam satu kenyataan, Urus Setia JKKPA-Pati, Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri berkata dengan usaha ini, ia membantu majikan di sektor pembinaan untuk mendapatkan pekerja asing dengan lebih cepat.
   
Namun, tarikh pelaksanaan pengambilan pekerja asing melebihi 100 orang yang dipersetujui dalam mesyuarat itu hanya akan diumumkan kemudian.
   
Sebelum ini, CLAB hanya dibenarkan mengambil kurang daripada 100 orang pekerja asing.

Mesyuarat lebih tiga jam itu turut menimbangkan beberapa cadangan dan keputusan dasar yang baharu mengenai pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.
   
Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Perdagangan DalamNegeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
   
CLAB ditubuhkan pada November 2003 oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan bagi melaksanakan keputusan jawatankuasa kabinet mengenai pekerja asing.
   
Peranan utama CLAB adalah sebagai pemudah cara bagi menerima dan mentadbir pangkalan data maklumat berkaitan pekerja pembinaan asing yang memiliki permit sah daripada syarikat yang telah menyiapkan projek dan mengagihkan semula mereka kepada syarikat pembinaan lain yang memerlukan khidmat pekerja. - Bernama


source:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment