Tuesday, April 21, 2015

MALAYSIA:::Presiden Nufam cabar pemecatan tidak sah MAS ke mahkamah
















Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin (gambar, kiri) mencabar pemecatannya oleh Malaysian Airlines (MAS) pada November 2013, di Mahkamah Perusahaan, dalam satu kes yang akan didengar pada 28 April ini.
Katanya, tindakan itu diambil terhadap bekas majikannya kerana pemecatan itu dianggap tidak sah, dibuat berikutan kenyataan media oleh Nufam menggesa peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) MAS ketika itu, Ahmad Jauhari Yahya.

"Mereka (MAS) beri alasan untuk membuang saya kerana kenyataan akhbar yang dibuat menentang CEO.
"Kenyataan itu adalah daripada sekretariat Nufam, bukan saya yang membuat kenyataan itu. Itu kenyataan sekretariat kami," katanya yang mendakwa alasan pemecatan yang dikemukakan pengurusan MAS adalah tidak berasas.
Kenyataan Nufam tersebut disiarkan akhbar theSun pada 8 November 2013 dan menyebabkan Ismail menerima surat tunjuk sebab pada 12 November 2013.
Ismail kemudiannya dibuang kerja pada 29 November 2013 atas alasan melanggar peraturan dalam Buku Disiplin MAS  dan prosedur kawalan aduan mengikut Perjanjian Kolektif.
Beliau membuat permohonan mencabar pemecatannya oleh MAS mengikut Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Sekiranya majikan didapati bersalah, pampasan sebanyak 24 bulan gaji terpaksa ditanggung mereka.
Dalam kenyataan media pada 2013 itu, Nufam mendesak Putrajaya mengkaji semula status Jauhari dalam memainkan peranannya sebagai seorang CEO, kerana didakwa gagal menyelesaikan perkara berkaitan isu kebajikan dan kepentingan anak kapal sehingga menjejaskan moral mereka.
Bagaimanapun, ia dilihat sensitif kerana mengkritik pentadbiran MAS secara terbuka.
Jauhari juga pada 2014 berdepan kritikan hebat kerana kegagalannya memainkan peranan selaku ketua MAS ketika berdepan krisis kehilangan penerbangan MH370.
Kerugian dialami MAS juga menyebabkan tekanan tertumpu ke arah Jauhari.
Susulan itu, Khazanah Nasional Berhad pada Disember lalu menamatkan spekulasi dengan mengumumkan bekas CEO Aer Lingus, Christoph R Mueller sebagai peneraju baharu Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo).
Langkah tersebut sebagai usaha penstrukturan semula dan untuk menyelamatkan MAS yang sudah berdepan dua krisis buruk pada tahun 2014.
MAS kerugian sejak beberapa tahun ini dan keadaan menjadi lebih teruk apabila dua tragedi menimpa mereka dalam tempoh 5 bulan antara Mac dan Julai 2014. – 21 April, 2015.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment