Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail berkata, perkara itu juga perlu dibincangkan bersama pihak-pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, tempoh pengeluaran tersebut adalah tidak relevan memandangkan pada usia itu kebanyakan pekerja memerlukan wang untuk pelbagai rancangan seperti menampung kos perubatan dan sara hidup.

“Dalam isu ini, KWSP tidak berhak menentukan keputusan kerana ia melibatkan hak ahli mereka,” katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan itu dibuat kerana kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
Sementara itu, Zainal berkata, KWSP perlu meneliti cadangan tersebut secara terperinci dengan mengambil kira implikasi sekiranya pekerja ingin bersara awal.
“Kita perlu meneliti daripada segala aspek. Bagaimana jika seseorang pekerja bersara awal dan ingin menggunakan wang simpanan KWSP mereka. Adakah mereka harus menunggu sehingga berusia 60 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam berkata, cadangan tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan kepada pencarum.
Beliau turut mencadangkan pengeluaran wang caruman KWSP sebagai satu pilihan sama ada pada usia 55 tahun atau 60 tahun, bukannya ditetapkan umur mandatori.
“Mana-mana ahli KWSP yang ingin kekal dan mengeluarkan wang simpanan mereka pada usia 60 tahun adalah terpulang kepada mereka namun KWSP tidak harus menghalang pencarum yang mahu mengeluarkan wang pada usia 55 tahun,” katanya.