Tindakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem menyerahkan isu pembuangan 6,000 pekerja syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) kepada pengurusan syarikat berkenaan disifatkan seperti menolak tanggungjawab dan tidak mahu memainkan peranan dalam isu buruh.
Presiden Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata, pihak kementerian seharusnya memberi perlindungan sewajarnya dan memainkan peranan bagi memastikan masa depan pekerja MAS tidak terjejas.
Menurutnya, isu pembuangan 6,000 pekerja tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan masa depan pekerja khususnya bagi mereka yang telah lama berkhidmat dengan MAS.
“Memberi semua tanggungjawab kepada pengurusan MAS untuk menyelesaikan proses pembuangan pekerja adalah satu titik hitam isu buruh dalam negara kerana pihak kementerian harus memastikan pekerja tidak dianiaya.
“Kalau mengikut kata-kata menteri dahulu yang menyatakan pekerja MAS tidak akan terjejas dengan pengstrukturan ini, banyak berpendapat pihak Kementerian Sumber Manusia tidak memainkan peranan penting malah memberi banyak alasan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa langsung untuk menyelesaikan masalah dan isu pembuangan 6,000 pekerja.
“Mungkin kementerian berkenaan rasa isu ini tidak penting dalam mengambil tanggungjawab tersebut dan baik dikatakan pihak kementerian tidak tahu langsung macam mana nak selesaikan masalah pembuangan 6,000 pekerja,” katanya kepada The Rakyat Post.
Tambahnya, tindakan itu sekali gus akan menyebabkan pekerja mengalami kesusahan malah bingung dengan keputusan kerajaan yang merujuk kepada MAS.
Jelas Ismail, keadaan pekerja akan bertambah buruk dengan situasi ekonomi yang mencabar dan menyebabkan mereka memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk mengekalkan khidmat mereka dalam MAS.
“Ini adalah amalan dan sikap tidak proaktif kerana pekerja akan sengsara dengan apa-apa keputusan yang akan diambil oleh pengurusan MAS.
“NUFAM berpendapat banyak isu seperti pampasan dan memberi penyambungan pekerjaan masih belum diuruskan dan diselesaikan oleh pihak MAS. Sehingga kini, pekerja syarikat ini masih dalam situasi kebingungan dan dalam kegelapan,” ujarnya.
Selain itu katanya, pekerja juga tidak dimaklumkan mengenai proses pemulihan yang melibatkan masa depan mereka dalam MAS.
Ini jelasnya akan memberi implikasi buruk kepada golongan yang bakal dibuang sekiranya mereka tidak bersedia lebih awal.
“Tidak ada sebarang proses pemulihan dimaklum kepada mana mana pekerja mengenai masa depan mereka.
“Mereka mungkin tidak ada masa untuk bersedia dengan proses pembuangan jika ada antara mereka dibuang,” kata Ismail.
Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan MAS bagi menentukan nasib 6,000 pekerjanya itu yang akan diberhentikan ekoran penstrukturan semula syarikat berkenaan.
Menterinya Datuk Richard Riot Jaem berkata, adalah lebih baik menyerahkan hal berkenaan kepada MAS untuk mengumumkan perkara itu walaupun mengakui terlibat secara langsung dalam isu terbabit.
Isu berkenaan diputuskan bagi menyelamatkan syarikat survival MAS daripada terus mengalami kerugian untuk menjadikannya lebih berdaya maju dengan cara mengurangkan pekerjanya.
No comments:
Post a Comment