Friday, May 15, 2015

MALAYSIA:::Malaysia ke-4 dalam keterangkuman pertumbuhan Asia Pasifik, menurut laporan

Malaysia menduduki tempat keempat ranking keterangkuman pertumbuhan keseluruhan di kalangan 16 negara Asia Pasifik Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi rantau Asia Pasifik (Unescap), menurut laporan kaji selidik yang dikeluarkan semalam.
Malaysia memperoleh skor 0.78 keterangkuman pertumbuhan antara tahun 2000 hingga 2012, satu peningkatan lebih baik berbanding skor 0.72 yang diperoleh antara tahun 1990 hingga 1999.

Menurut laporan itu, Kazakhstan, Rusia dan Thailand merupakan 3 negara teratas manakala Malaysia meninggalkan Sri Lanka, Iran dan China.

Nepal, India, Kemboja dan Pakistan pula menduduki tempat paling teruk dalam carta keterangkuman pertumbuhan keseluruhan.

Keterangkuman pertumbuhan keseluruhan adalah gabungan daripada skor keterangkuman ekonomi, keterangkuman sosial dan juga keterangkuman alam sekitar.

Pengukur yang diguna pakai dalam kajian selidik itu adalah berdasarkan data disediakan untuk meningkatkan purata standard kehidupan, mengurangkan ketidaksamaan, mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan mengembang serta memperluaskan peluang.

Daripada 3 kategori yang dinilai, keterangkuman ekonomi menduduki kedudukan terburuk bagi Malaysia iaitu 12 daripada 22 negara, walaupun skornya meningkat kepada 0.74 (2000-2012) berbanding 0.69 (1990-1999).

Keterangkuman ekonomi dinilai berdasarkan nisbah jumlah pekerja terhadap kadar kemiskinan, pekali pengagihan pendapatan, nisbah pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah, kadar pengangguran dan penyertaan tenaga buruh wanita berbanding lelaki.

Kazakhstan, Azerbaijan, dan Thailand mengungguli keterangkuman ekonomi di rantau ini manakala Turki, Pakistan dan Iran menduduki carta paling teruk.

Keterangkuman sosial pula dinilai berdasarkan kesaksamaan jantina di peringkat sekolah menengah, enrolmen pelajar sekolah menengah, purata tahun persekolahan, peratusan kelahiran yang diperoleh oleh kakitangan kesihatan berkemahiran dan kadar kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Skor bagi kategori keterangkuman sosial negara ini juga meningkat kepada 0.84 bagi tempoh 2000-2012 berbanding 0.76 dalam tempoh 1990-1999 sekali gus meletakkan Malaysia di tempat ke-7 di rantau Asia Pasifik di belakang Russia, Sri Lanka, Tonga, Kazakhstan, Brunei dan Fiji.

Keterangkuman alam sekitar dinilai mengikut peratusan kepada akses kemudahan persekitaran kondusif, peratusan menyediakan sumber air bersih, pelepasan gas rumah hijau, peratusan perubahan kawasan hutan dan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil.

Malaysia bernasib baik dalam kategori keterangkuman alam sekitar selepas menduduki ranking ke-2 antara tahun 2000 hingga 2012 dengan skor sebanyak 0.75 manakala Korea Selatan menduduki tempat pertama daripada 25 negara yang disenaraikan.

Bukan semua negara mampu menyediakan ketiga-tiga kategori keterangkuman itu yang menyaksikan Malaysia tergolong di kalangan 16 negara mempunyai data mencukupi.

Secara keseluruhan Malaysia menunjukkan pencapaian positif berdasarkan laporan itu sekali gus membuktikan prospek keseluruhan negara "kekal cerah".

"Pertumbuhan pelaburan dijangka kekal berdaya tahan apabila projek infrastruktur awam utama bermula," kata laporan itu. – 15 Mei, 2015.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com
Malaysia memperoleh skor 0.78 keterangkuman pertumbuhan antara tahun 2000 hingga 2012, satu peningkatan lebih baik berbanding skor 0.72 yang diperoleh antara tahun 1990 hingga 1999. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Mei, 2015.
Malaysia memperoleh skor 0.78 keterangkuman pertumbuhan antara tahun 2000 hingga 2012, satu peningkatan lebih baik berbanding skor 0.72 yang diperoleh antara tahun 1990 hingga 1999.

No comments:

Post a Comment