Friday, May 15, 2015

MALAYSIA:::Malaysia tiada sumber fiskal kukuh hadapi krisis kewangan, kata pakar ekonomi

Malaysia tidak mempunyai pilihan lain sama ada menggunakan instrumen fiskal bagi menghadapi krisis kewangan pada masa depan, terutamanya disebabkan hutang persekutuan yang tinggi dan defisit bajet berterusan, kata seorang profesor ekonomi.
Pensyarah Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (ICEIF) Datuk Dr Mohamed Ariff, berkata Malaysia "tidak mempunyai peluru" terhadap kadar fiskal yang kukuh jika negara dilanda krisis.


Ini kerana defisit bajet berterusan sejak 17 tahun lalu menyebabkan hutang Persekutuan hampir melepasi nilai siling yang ditetapkan sendiri, iaitu sebanyak 55%.

Pada akhir 2014, jumlah hutang Persekutuan dari dalam dan luar negara berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Mac lalu.

Menurut kementerian itu juga, Putrajaya terus komited untuk memastikan tahap hutang kerajaan persekutuan tidak melebihi 55% daripada KDNK.

"Sesetengah pihak berhujah, jika kita memasukkan liabiliti luar jangka, hutang kita akan melebihi tahap siling yang ditetapkan sekarang," kata Ariff ketika mendedahkan hasil kaji selidik yang dijalankan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi rantau Asia Pasifik (Unescap) di Kuala Lumpur, semalam.

"Kita mempunyai ruang yang sangat sedikit untuk bergerak dalam instrumen fiskal kita," katanya.

Ariff juga berkata Malaysia akan berada dalam keadaan "trajektori" yang berbeza jika dibandingkan dengan agenda reformasi selepas krisis kewangan 1998 dan 2008.

"Jika Malaysia mengekalkan agenda reformasi dalam pasca-krisis, kita akan berada dalam trajektori yang berbeza," katanya.

"Tetapi kerana terdapat fahaman politik tertentu, ia semakin menambahkan kesukaran," katanya.

Ariff bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut pada forum berkenaan terhadap pembaharuan selepas krisis yang akan dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia menyasarkan untuk mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

Ariff berkata, Malaysia pada mulanya sepatutnya mempunyai bajet yang seimbang pada 2005 dan kemudian dilanjutkan pada 2007.

"Tetapi selepas berlaku krisis kewangan, ia hanya boleh dicapai menjelang tahun 2020," katanya. – 15 Mei, 2015.

sumber:::http://www.themalaysianinsider.com

Datuk Dr Mohamed Ariff, seorang pakar ekonomi dari ICEIF berkata hutang Persekutuan kini hampir melepasi nilai siling yang ditetapkannya sendiri, pada 55%. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 15 Mei, 2015.
Datuk Dr Mohamed Ariff, seorang pakar ekonomi dari ICEIF berkata hutang Persekutuan kini hampir melepasi nilai siling yang ditetapkannya sendiri, pada 55%.

No comments:

Post a Comment