Saturday, May 2, 2015

MALAYSIA:::Nufam ikrar terus pertahan nasib 6,000 kakitangan MAS

Meskipun usaha membela nasib 6,000 kakitangan Malaysia Airlines yang bakal kehilangan pekerjaan cukup getir, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) berikrar akan terus berjuang sehingga ke saat-saat akhir.
Bagi Presidennya, Ismail Nasaruddin, pihaknya tidak akan menyerah kalah selagi belum berada di garisan penamat.

"Kita sedang berusaha dan mempertingkat usaha dari hari ke hari untuk memastikan nasib 6,000 kakitangan tidak kehilangan pekerjaan menjelang bulan Ramadan dan dapat bergembira semasa Syawal nanti.
"Nufam juga percaya kalau Perdana Menteri dengar rintihan kami, keputusan pembuangan mungkin dapat ditarik balik," katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Ismail mengakui sambutan Hari Pekerja pada tahun ini hambar dan mendebarkan bagi seluruh kakitangan Malaysia Airlines yang tidak diketahui nasib selepas ini.
Beliau memberitahu, setakat ini tidak ada apa-apa perubahan malah mendakwa Khazanah Nasional mahu pun Malaysia Airlines masih enggan menemui kesatuan-kesatuan pekerja bagi membincangkan isu penstrukturan pekerja.
MalaysiaGazette difahamkan Malaysia Airlines sudah pun kakitangannya mengisi beberapa borang yang mengandungi butir-butir peribadi, dipercayai antara prosedur dalam proses pembuangan pekerja.
Kakitangan Malaysia Airlines yang dijangka dibuang berikutan pelaksanaan penstrukturan semula syarikat penerbangan itu akan menerima surat dalam tempoh terdekat ini memandangkan operasi syarikat itu bakal ditamatkan pada 31 Ogos ini.
Ismail berkata, Nufam gigih memperjuangkan penamatan kerja yang melibatkan 6,000 orang itu kerana majoritinya Melayu dan selama ini menyokong kerajaan.
"Sekarang kami minta tolong Perdana Menteri pertimbangkan keputusan ini.
"Cuba letak diri pada kedudukan kami. Bayangkan perasaan kami ketika ini, masa depan anak-anak dan tanggungan kami dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
"Itu sahaja yang kami minta," katanya sambil memberitahu Nufam masih menunggu masa untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
Katanya, Nufam mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung isu yang diperjuangkan. 

No comments:

Post a Comment