Thursday, June 4, 2015

MALAYSIA:::GST mula jejas perniagaan, majikan mungkin berhentikan pekerja

Berdepan dengan kejatuhan jualan dan kos operasi yang tinggi, beberapa syarikat di negara ini sedang mempertimbang untuk mengurangkan pekerja sama ada melalui pemberhentian atau skim pemisahan sukarela, menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kira-kira 20% daripada ahlinya sedang mengkaji beberapa langkah pilihan dan ia membabitkan syarikat yang merangkumi semua sektor ekonomi daripada peruncitan hingga ke sektor hospitaliti dan pembuatan.
Shamsuddin berkata, kebanyakan syarikat sudah berjumpa dengan MEF untuk mendapatkan khidmat nasihat serta perundingan dan sedang bekerjasama dengan mereka mengenai cara terbaik untuk mengurangkan kos sama ada wajar memberhentikan pekerja atau tidak.
"Bagi sesetengah ahli, perniagaan mereka mengalami kerugian hampir 30% beberapa bulan lalu. Jadi mereka melihat sama ada akan memecat pekerja atau melaksanakan skim pemisahan sukarela," kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insider.
Kira-kira 5,000 syarikat dan 22 persatuan perdagangan merupakan ahli persekutuan itu.
Memetik laporan StarBiz pada 2 Mei, beberapa persatuan dan penganalisis melihat terdapat penyusutan keuntungan antara 20% dan 50% di kalangan sektor perniagaan peruncitan dalam tempoh beberapa bulan selepas pelaksanaan GST.
Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM), sebuah syarikat perunding dalam sektor peruncitan, menjangkakan jualan akan perlahan selama 6 bulan selepas April, lapor StarBiz.
RGM dipetik sebagai berkata, perbelanjaan dalam peruncitan dijangka kembali normal menjelang akhir tahun ini.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili pekerja kolar biru sektor swasta, bagaimanapun, mempertikaikan alasan untuk membuang pekerja.
"Menurut laporan Bank Negara, PKS (perusahaan kecil dan sederhana) masih menunjukkan prestasi yang baik," kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam.
Laporan ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi suku pertama tahun ini menunjukkan aktiviti perniagaan berkembang antara 5.6% dan 9.6% dalam semua sektor industri kecuali pertanian.
Sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 6.4% terutama dalam perniagaan berkaitan kepenggunaan manakala pertumbuhan sebanyak 5.6% bagi sektor perkilangan didorong eksport yang kukuh terutamanya dalam kelompok barangan elektrik dan elektronik, menurut laporan itu.
"Sektor pembinaan pula disokong oleh sub sektor bukan perumahan dan kediaman, manakala sektor perlombongan terus mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh di tengah-tengah pengeluaran minyak mentah yang tinggi," kata BNM.
Jumlah pertumbuhan ekonomi, bagaimanapun, sebanyak 5.6% pada suku pertama 2015, merosot daripada 5.7% pada suku terakhir 2014 dan lebih rendah berbanding 6.3% yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2014.
Jika pengurangan pekerja diperlukan, Gopal Kishnam berkata, majikan sepatutnya mula melaksanakannya terhadap pekerja asing.
"PKS dibanjiri dengan pendatang, jika terdapat keperluan (untuk pemberhentian) hantar mereka balik terlebih dulu dan membayar baki gaji," kata Gopal Kishnam. – 4 Jun, 2015.
sumber:::http://www.themalaysianinsider.com
Sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April, semua bentuk perniagaan mula mengalami kemerosotan dan majikan terpaksa pertimbang kemungkinan mengurangkan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Jun, 2015.
Sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April, semua bentuk perniagaan mula mengalami kemerosotan dan majikan terpaksa pertimbang kemungkinan mengurangkan pekerja.

No comments:

Post a Comment