Thursday, June 4, 2015

MALAYSIA:::Penerbangan Tertangguh, Operasi KLIA Kelam Kabut Gara-Gara Tak Cukup Kakitangan

Ternyata percaturan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) memberhentikan pekerja dalam jumlah yang besar serentak mengundang kekalutan yang bukan sedikit dalam operasi harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Selepas sehari keputusan memberhentikan 6,000 kakitangan syarikat itu dilaksanakan, operasi syarikat penerbangan kebangsaan itu kelam-kabut, beberapa jadual penerbangan tertangguh dan lebih malang petugas dimaki penumpang.
Perkara itu disahkan oleh kakitangan MAS kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila kakitangan kaunter ramai yang diberhentikan menyebabkan tidak ada kakitangan 'back-up'.

Sejak tengah hari tadi, penumpang terpaksa beratur panjang kerana kaunter yang dibuka untuk operasi hari ini tidak cukup kakitangan.
"Tidak sampai 10 kakitangan berada di kaunter hari ini, jadi bayangkan bagaimana kakitangan yang ada terpaksa menguruskan para penumpang dan bagasi.
"Pekerja yang ada menjalankan tugas seperti biasa cuma kelewatan dijangka, jangan marah kakitangan, tanyalah MAS," katanya kepada MalaysiaGazette.
Kakitangan MAS itu memberitahu, sudahlah kekangan kakitangan, pekerja yang ada pula dimarahi penumpang yang tidak puas hati terhadap perkhidmatan yang didakwa lembap.
"Patut Ketua Pegawai Eksekutif MAS turun padang, tengok apa yang berlaku di KLIA," tambahnya sambil tidak menolak masalah itu berlarutan sehingga tarikh yang tidak diketahui.
Menurut laman web Flight Radar 24, kira-kira 27 penerbangan yang sepatutnya berlepas daripada KLIA terpaksa ditangguhkan di antara jam 4 petang sehingga 6 petang tadi.
Kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberitahu, balai pelepasan terminal utama KLIA penuh sesak dengan penumpang yang terkandas.
Pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan masalah itu berpunca daripada syarikat penerbangan.
Difahamkan hanya dua kaunter daftar masuk milik syarikat penerbangan tersebut yang dibuka tengah hari sehingga petang tadi.
Para penumpang terpaksa beratur panjang dalam keadaan sesak kerana hanya lorong B dan C sahaja yang dibuka.
Keadaan ini pastinya menyusahkan para penumpang dan tidak seharusnya ditanggung mereka selepas meletakkan kepercayaan kepada syarikat tersebut biarpun maklum dengan masalahnya.
Keadaan mula reda pada kira-kira jam 7 petang tadi apabila kakitangan tambahan terpaksa dipanggil untuk bertugas bagi mengatasi kesesakan tersebut.

No comments:

Post a Comment