Tuesday, October 13, 2015

MALAYSIA:::20 Bekas Kakitangan Naza Buat Aduan Di Pejabat Perhubungan Perusahaan

 Dua puluh orang daripada 255 bekas kakitangan Naza AutoMotive Manufacturing Sdn Bhd hari ini membuat aduan di pejabat Perhubungan Perusahaan negeri di sini atas dakwaan syarikat itu tidak mematuhi beberapa perkara dalam Perjanjian Bersama 2014-2017.

Kumpulan itu diketuai bekas Naib Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja Naza (PEKENA), Mohammad Hanif Azmi.

Mohammad Hanif mendakwa, syarikat itu tidak mematuhi Artikel 10 perjanjian dan antaranya pihak kesatuan tidak dipanggil untuk berbincang tentang pengurangan pekerja, sebaliknya diberi notis pemberhentian kerja dalam tempoh 24 jam.



Pada 27 Ogos lalu, 255 pekerja Naza diberhentikan atas alasan kekangan kewangan dan bagi mengelak syarikat itu daripada bankrap.

"Kami faham ekonomi sekarang, mata wang jatuh, tapi kena bincang dengan kami dahulu. Peluang dapat pekerjaan susah, ramai susah dapat kerja kerana faktor umur," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan itu.

Katanya 80 peratus daripada mereka yang diberhentikan masih tidak mendapat pekerjaan.

Mohammad Hanif berkata menerusi Artikel 50 pula, Naza juga gagal dalam menguruskan pengurangan pekerjanya terutamanya dalam melaksanakan prinsip "masuk-kemudian, keluar-dahulu", memandangkan banyak pekerja yang diberhentikan telah berkhidmat selama lima hingga 13 tahun dan mempunyai prestasi kerja yang baik.


source:::http://www.bernama.com

No comments:

Post a Comment