Tuesday, March 1, 2016

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA:::Kes mengenai pembuangan kerja

Razali Bin Ab Rahman v Divaforce Sdn Bhd
Award No. 182 of 2016; Industrial Court
Date of Judgment: 24 February 2016
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
NO. KES: 12/4-622/15
DI ANTARA
RAZALI BIN AB RAHMAN
DAN
DIVAFORCE SDN. BHD.
NO. AWARD: 182 TAHUN 2016
Di hadapan: Y.A. TUAN GULAM MUHIADDEEN BIN ABDUL AZIZ - PENGERUSI (Bersidang Berseorangan)
Tempat: Mahkamah Perusahaan Malaysia, Kuala Lumpur
Tarikh Rujukan: 12.8.2015
Tarikh Sebutan: 12.10.2015; 17.11.2015; 24.11.2015; 15.12.2015; 18.1.2016;
Tarikh Perbicaraan: 23.2.2016
Rujukan:
Ini adalah satu rujukan yang dibuat di bawah Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 mengenai dakwaan pemecatan kerja Razali Bin Ab Rahman (selepas ini disebut sebagai "Yang Menuntut") oleh Divaforce Sdn. Bhd. (selepas ini disebut sebagai "Syarikat") pada 31 Oktober 2014.
AWARD

[1] Kes ini mengenai pembuangan kerja Razali Bin Ab Rahman ("Yang Menuntut") oleh Divaforce Sdn Bhd ("Syarikat") pada 31 Oktober 2014. Kes ini telah dirujuk oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan menurut peruntukan Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 12 Ogos 2015 dan telah diterima oleh Mahkamah ini pada 26 Ogos 2015.
Latar Belakang Kes
[2] Kes ini ditetapkan untuk sebutan pada 12 Oktober 2015, 17 November 2015, 24 November 2015, 15 Disember 2015 dan 18 Januari 2016. Pada setiap kali sebutan pihak Syarikat telah gagal hadir walaupun notis sebutan telah diserahkan di alamat pihak Syarikat. Pada tarikh sebutan 18 Januari 2016, pihak Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 23 Februari 2016 dan memerintahkan bahawa sekiranya pihak Syarikat masih gagal hadir, perbicaraan akan diteruskan secara ex-parte.
[3] Pada 23 Februari 2016, pihak Syarikat gagal hadir walaupun Notis Bicara telah diserahkan pada 3 Februari 2016. Kenyataan Kes telah difailkan oleh Yang Menuntut pada 18 Januari 2016 dan diserahkan oleh pihak Mahkamah kepada pihak Syarikat melalui Borang J pada 3 Februari 2016.
Perbicaraan Secara Ex-Parte
[4] Di bawah Seksyen 29(d) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 telah memperuntukan perbicaraan secara ex-parte tanpa kehadiran satu pihak. Seksyen tersebut menyatakan:
"The Court may, in any proceedings before it:
(a) ...
(b) ...
(c) ...
(d) hear and determine the matter before it notwithstanding the failure of any party to submit any written statement whether of case or reply to the Court within such time as may be prescribed by the President or in the absence of any party to the proceedings who has been served with a notice or summons to appear.".
[5] OP Malhotra; The Law of Industrial Disputes Volume 1: 6th Edition di muka surat 1062 menyatakan seperti berikut:
"If, however, a party willfully absents himself in such a way that the adjudication is likely to be impeded, or willfully tries to delay or avoid the proceedings, the tribunal may fix a preemptory hearing on a particular day. After reasonable notice of hearing has been given to the defaulting party, if he still neglects or refuses to attend, the tribunal may and ought to hear in his absence. Prompt discharge of business is of particular importance before a tribunal adjudicating an industrial dispute. Dilatory tactics must, therefore necessarily be discouraged.".
[6] Di muka surat 1063, penulis tersebut telah menggariskan prinsipprinsip yang harus dipatuhi semasa perbicaraan ex-parte seperti berikut:
"A rule empowering the tribunal to proceed ex-parte if a party is absent and sufficient cause is not shown for his absence, would not enable it either to do away with the inquiry or to straightway pass an award without giving a finding on the merits of the dispute. In other words, the absence of a party does not entail consequence that an award will straightway be made against him.".
Kes Yang Menuntut
[7] Yang Menuntut mula bertugas dengan Syarikat pada 16 Oktober 2013 sebagai Pengurus Perniagaan ("Business Manager") dengan kontrak perkhidmatan selama 2 tahun oleh pihak Syarikat. Surat Perlantikan telah dikemukakan oleh Yang Menuntut dan ditanda sebagai "CL-1". Gaji beliau telah ditetapkan sebanyak RM4,200.00 serta elaun petrol sebanyak RM400.00 dan elaun telefon bimbit sebanyak RM150.00 sebulan.
[8] Pada 26 Mei 2014, pihak Syarikat telah mengeluarkan surat penamatan kerja kepada Yang Menuntut. Surat Syarikat tersebut adalah seperti berikut:
img1
[9] Yang Menuntut telah membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan dan satu rundingan damai telah diadakan pada 2 Julai 2014. Hasil rundingan damai tersebut, satu Memorandum Persetujuan telah direkodkan seperti berikut:
img2
[10] Yang Menuntut telah melapor diri bekerja semula dengan Syarikat. Walaupun begitu, pada 23 Oktober 2014, Yang Menuntut telah diserahkan surat penamatan kerja kali kedua seperti berikut:
img3
[11] Yang Menuntut menegaskan bahawa pemberhentian kerja beliau oleh Syarikat adalah berniat jahat serta tidak adil dan tidak wajar.
Penilaian dan Dapatan
[12] Kes ini telah dijalankan secara perbicaraan ex-parte setelah Mahkamah berpuashati bahawa pihak Syarikat telah gagal untuk hadir walaupun beberapa peluang telah diberikan kepada pihak Syarikat untuk memfailkan pernyataan jawapan serta hadir di Mahkamah untuk sebutan/perbicaraan. Mahkamah berpendapat pihak Syarikat tidak berminat untuk mempertahankan (defend) kes mereka.
[13] Berdasarkan pada keterangan Yang Menuntut serta dokumendokumen yang dikemukakan adalah jelas bahawa Yang Menuntut telah mula bekerja dengan Syarikat mulai 16 Oktober 2013 sebagai Pengurus Perniagaan. Gaji terakhir beliau sebelum diberhentikan adalah RM4,200.00 sebulan ("CL-1").
[14] Seperti yang dinyatakan di atas, pihak Syarikat tidak hadir dan oleh itu tiada keterangan yang dikemukakan untuk menyangkal keterangan Yang Menuntut. Adalah menjadi prinsip undang-undang termaklum bahawa beban pembuktian adalah terletak kepada pihak Syarikat untuk menunjukkan kepada Mahkamah bahawa pembuangan kerja Yang Menuntut adalah adil dan beralasan.
[15] Namun demikian, Mahkamah perlu meneliti keterangan Yang Menuntut di dalam kes ini sebelum memutuskan sama ada pembuangan kerja Yang Menuntut beralasan dan adil atau sebaliknya.
[16] Di dalam kes ini adalah jelas bahawa tiada sebarang salahlaku telah dikemukakan terhadap Yang Menuntut sebelum pembuangan kerja beliau. Beliau tidak pernah menerima sebarang surat amaran ataupun surat tunjuk sebab. Surat Penamatan Kerja pihak Syarikat hanya menyatakan bahawa Yang Menuntut ditamatkan mengikut klausa tempoh percubaan dengan memberikan notis 7 hari. Seterusnya menyatakan bahawa Yang Menuntut telah gagal mencapai matlamat prestasi kerja yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Syarikat. Walaupun begitu dengan kegagalan pihak Syarikat untuk hadir ke Mahkamah ini menunjukkan tiada sebarang bukti yang dikemukakan oleh pihak Syarikat.
[17] Oleh itu Mahkamah berpendapat pembuangan kerja oleh pihak Syarikat adalah tidak adil dan tidak beralasan.
Remedi
[18] Yang Menuntut menyatakan bahawa beliau tidak bekerja semenjak dibuang kerja oleh pihak Syarikat walaupun beliau telah berusaha untuk mendapatkan pekerjaan lain. Sehingga hari perbicaraan, beliau masih gagal mendapatkan pekerjaan.
[19] Yang Menuntut telah bekerja selama 13 bulan dengan pihak Syarikat.
[20] Oleh itu, Mahkamah berpendapat Yang Menuntut sewajarnya diberikan remedi seperti berikut:
(a) Bayaran gaji kebelakangan
RM4,200.00 x 11 bulan = RM46,200.00
[21] Bayaran RM46,200.00 hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh award ini diperturunkan (setelah jumlahnya ditolak caruman-caruman statutori sekiranya ada) oleh pihak Syarikat kepada Yang Menuntut.
DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH PADA 24 FEBRUARI 2016
...
GULAM MUHIADDEEN BIN ABDUL AZIZ
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN, MALAYSIA
KUALA LUMPUR
Encik Razali Bin Ab Rahman,Yang Menuntut - Hadir
Syarikat - Tidak Hadir

No comments:

Post a Comment