Wednesday, March 9, 2016

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA:::Mohd Husni Bin Abd Halim v Rapid Rail Sdn Bhd Award No. 227 of 2016

Date of Judgment: 03 March 2016 | Source: Industrial Court
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KES NO : 2/4-1206/13
DI ANTARA
MOHD HUSNI BIN ABD HALIM
DAN
RAPID RAIL SDN BHD
AWARD NO. 227 TAHUN 2016
Di hadapan: Y.A. PUAN ROSENANI BINTI ABD. RAHMAN - PENGERUSI
Tempat: Mahkamah Perusahaan Malaysia, Kuala Lumpur
Tarikh Rujukan: 21.8.2013
Tarikh Sebutan: 23.10.2013; 22.10.2013; 22.12.2013; 23.1.2014; 24.2.2014; 4.7.2014; 18.7.2014; 27.7.2015; 12.8.2015
Tarikh Perbicaraan: 4.8.2014; 5.8.2014; 27.10.2014; 26.2.2015; 30.4.2015
Rujukan:
Ini adalah suatu rujukan yang dibuat dibawah Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 mengenai pembuangan kerja Mohd Husni bin Abd Halim (selepas ini disebut sebagai 'Pihak Menuntut") oleh Rapid Rail Sdn Bhd (selepas ini disebut sebagai "Pihak Syarikat") pada 31 Disember 2012.
AWARD
Fakta Ringkas
[1] Pihak Menuntut bekerja dengan Syarikat mulai 10 Mac 2009 sebagai "Customer Service Assistant (CSA)". Sebagai CSA tugas Pihak Menuntut adalah untuk menyelesaikan masalah pelanggan seperti tambang yang tidak cukup iaitu bantu mereka mendapatkan token di mesin tiket, membaiki kerosakan mesin tiket, menjual produk syarikat iaitu Touch N Go dan pas rapid dan memantau persekitaran stesen bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Gaji akhir Pihak Menuntut semasa dibuang kerja pada 31 Disember 2012 adalah RM1,380.00.
[2] Pada 29 Ogos 2012, Pihak Menuntut telah menerima surat tunjuk sebab dari Syarikat. Ini adalah berikutan dari aduan oleh pelanggan bernama Nick Lim bertarikh 21 Mei 2012 dan selepas siasatan yang dijalankan oleh Pihak Syarikat pada 17 Jun 2012, Pihak Menuntut telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut dengan menafikan semua tuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Berikutan dari itu Pihak Syarikat telah mengeluarkan surat bertarikh 11 September 2012 bagi penggantungan kerja sementara dan surat bertarikh 28 September 2012 bagi lanjutan penggantungan kerja Pihak Menuntut bagi tujuan siasatan lanjut (muka surat 27 - 28 dan 30 - 32, COB).
[3] Seterusnya satu Siasatan Dalaman telah dijalankan terhadap Pihak Menuntut dan 2 rakan sekerjanya, Ahmad Termizi Omar dan Afniza binti Roslan pada 1 November 2012. Pihak Menuntut telah hadir bersama 3 wakil dari Kesatuan Sekerja. Di dalam Siasatan Dalaman tersebut, Pihak Menuntut telah menghadapi pertuduhan seperti berikut:
"1. Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) lebih kurang jam 9.13 malam semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah gagal mematuhi "Passenger Service Machine" (Version 0.0147) Manual - mengurus tiket yang kekurangan tambang (error 77) apabila gagal menambah nilai token kurang tambang meskipun telah menerima bayaran RM1.20 sen daripada pelanggan bagi tujuan menambah nilai token tersebut. Anda juga telah sengaja membuka pintu automatik dari Pejabat Khidmat Pelanggan (PKP) untuk memberi laluan keluar kepada pelanggan tersebut.
2. Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah bersubahat melakukan pecah amanah dengan Afniza binti Roslan (10000417) dan Ahmad Termizi bin Omar (10004562) apabila hanya menyerahkan RM300.00 daripada hasil jualan Kad Rapid Pass berjumlah RM400.00 seperti yang diisytiharkan pada laporan kutipan tunai (Cash Collection Report) serta laporan penjualan rapid pass "T N GO" diakhir syif anda. 3. Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah bersubahat dengan Ahmad Termizi bin Omar (10004562) Afniza binti Roslan (100005417) melakukan pecah amanah apabila gagal mengisytihar penerimaan bayaran berjumlah RM2.40 sen yang diterima daripada pelanggan bagi menjelaskan penalti untuk penyalahgunaan pas my rapid diakhir syif anda.
4. Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah bersubahat melakukan pecah amanah apabila gagal melaporkan salah laku Ahmad Termizi bin Omar (10004562) rakan sekerja anda yang menjual token secara tidak sah diakhir syif anda."
[4] Pihak Menuntut dan Wakil Kesatuan tidak puas hati dengan proses Siasatan Dalaman dijalankan. Mereka telah meminta penangguhan, tetapi tidak dibenarkan lalu mereka keluar meninggalkan sesi Siasatan Dalaman. Walau bagaimanapun Siasatan Dalaman telah diteruskan dan keputusan dibuat oleh Panel Siasatan Dalaman dimana Pihak Menuntut telah didapati salah bagi pertuduhan 1 dan 3. Bagi pertuduhan 4, Pihak Menuntut dikatakan mengaku salah. Seterusnya Pihak Menuntut telah dibuang kerja melalui surat bartarikh 31 Disember 2012 yang berkuatkuasa serta merta.
[5] Pihak Menuntut menyatakan pembuangan kerjanya adalah tidak sah dan tanpa sebab atau alasan yang adil. Pihak Menuntut juga tidak diberi hak untuk didengar bagi menjelaskan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Undang-Undang
[6] Fungsi Mahkamah Perusahaan dalam kes-kes rujukan di bawah Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 adalah dua hala, iaitu menentukan sama ada salahlaku yang dikatakan dilakukan telah dibuktikan dan seterusnya sama ada salah laku yang dibuktikan itu merupakan sebab atau alasan yang adil yang mewajarkan tindakan pembuangan kerja. Di dalam kes Milan Auto Sdn Bhd v Wong She Yen [1995]4 CLJ 449, Mahkamah Persekutuan memutuskan:
"......the function of the Industrial Court in dismissal cases on a reference under S.20 is two fold, to determine whether the misconduct complained of by the employer has been established and secondly whether the proven misconduct constitutes just cause or excuse for the dismissal."
[7] Begitu juga di dalam kes Wong Yuen Hock v Syarikat Hong Leong Assurance Sdn Bhd & Another Appeal [1995]3 CLJ 344, telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan:
"On the authorities, we were of the view that the main and only function of the Industrial Court in dealing with a reference under section 20 of the Act (unless otherwise lawfully provided by the terms of reference) is to determine whether the misconduct or irregularities complained of by the management as the grounds of dismissal were in fact committed by the workman, and if so, whether such grounds constitutes just cause or excuse for the dismissal."
Isu-Isu
[8] Mahkamah perlu memutuskan isu-isu berikut:
1. Sama ada Pihak Syarikat telah berjaya membuktikan Pihak Menuntut telah melakukan salah laku seperti yang dipertuduhkan.
2. Sekiranya jawapan di atas "ya" sama ada pembuangan kerja Pihak Menuntut adalah wajar atau dengan sebab atau alasan yang adil.
Penilaian dan Dapatan
Siasatan Dalaman
[9] Di dalam kes ini, Mahkamah mengambil perhatian satu proses Siasatan Dalaman telahpun dijalankan terhadap Pihak Menuntut. Semasa Siasatan Dalaman, Pihak Menuntut telah hadir bersama-sama 2 orang wakil Kesatuan Sekerja iaitu Hafizi bin Ali dan Abdah bin Abd Rahman. Disahkan oleh Pihak Menuntut pada Siasatan Dalaman kali pertama ini beliau telah mengaku salah terhadap pertuduhan pertama dan keempat. Walau bagaimanapun pada sesi kedua Siasatan Dalaman pada 1 November 2012, Pihak Menuntut telah menukar pengakuan dari bersalah kepada tidak bersalah atas semua pertuduhan. Pada sesi kedua ini, Pihak Menuntut hadir bersama-sama 3 Wakil Kesatuan Sekerja iatu Hafizi, Abd Ghani dan Abd Latif.
[10] Merujuk keterangan Pihak Menuntut sendiri di soalan 44 dimana disahkan bahawa Siasatan Dalaman telah diteruskan tanpa kehadiran Pihak Menuntut dan ini adalah atas pilihan Pihak Menuntut sendiri, selepas berbincang dan dinasihati oleh Wakil Kesatuan yang hadir bersamanya. Alasan Pihak Menuntut meninggalkan sesi Siasatan Dalaman adalah kerana semasa sesi Siasatan Dalaman keatas Afniza, Panel Juri dikatakan berat sebelah dengan membantu Pihak Syarikat menjawab soalansoalan yang diajukan oleh Wakil Kesatuan. Mahkamah mendapati Pihak Menuntut telahpun diberi peluang untuk didengar, tetapi telah keluar meninggalkan sesi Siasatan Dalaman atas alasan yang tidak munasabah. Malah keterangan Pihak Menuntut sendiri menyatakan yang Pihak Pendakwa telah memberinya pilihan samada Siasatan Dalaman diteruskan dengan panel juri mendiamkan diri atau Siasatan Dalaman akan diteruskan tanpa kehadiran Pihak Menuntut. Akhirnya Pihak Menuntut sendiri telah setuju supaya Siasatan Dalaman diteruskan tanpa kehadirannya.
[11] Berdasarkan fakta di atas, Pihak Menuntut tidak boleh pada peringkat ini mempertikaikan keputusan Panel Siasatan Dalaman dengan menimbulkan isu Pihak Menuntut tidak diberi peluang untuk didengar. Keputusan untuk meninggalkan sesi Siasatan Dalaman adalah atas pilihan Pihak Menuntut sendiri. Seterusnya diakhir sesi Siasatan Dalaman, panel-panel telah membuat keputusan iaitu Pihak Menuntut adalah bersalah diatas pertuduhan 1, 3 dan 4 dan tidak bersalah bagi pertuduhan 2. Panel Siasatan Dalaman berpendapat kesalahan yang dilakukan oleh Pihak Menuntut adalah serius, oleh itu telah dikenakan tindakan buang kerja. Rujuk surat bertarikh 31 Disember 2012 dan keputusan Siasatan Dalaman di muka surat 2 - 4, COB.
[12] Disini Mahkamah telahpun meneliti notis prosiding Siasatan Dalaman dan mendapati ianya tidak jelas dan terdapat banyak pindaan yang dibuat keatasnya. Walaupun Pihak Menuntut tidak mempertikaikan ketepatan nota porsiding, Mahkamah berpendapat keseluruhan proses Siasatan Dalaman adalah tidak teratur, tambahan lagi ia dijalankan tanpa kehadiran Pihak Menuntut. Keterangan dan rayuan dari Pihak Menuntut telah tidak diambil kira sebelum Panel Siasatan Dalaman membuat keputusan. Seperti yang diputuskan oleh kes-kes terdahulu, Mahkamah ini tidak terikat dengan keputusan Siasatan Dalaman. Tugas Mahkamah Perusahaan ialah untuk membuat keputusan berpandukan keseluruhan keterangan yang dikemukakan melalui keterangan-keterangan saksi yang dikemukakan oleh keduadua pihak. Sudah tentu Mahkamah Perusahaan tidak semata-mata terikat dengan nota prosiding di dalam Siasatan Dalaman. (Rujuk kes Plaintree Wood Products Sdn Bhd v Mahkamah Perusahaan dan Mohammad Safarudin Chew, No. R1-25-42-2005 (unreported)).
[13] Begitu juga di dalam kes Hong Leong Equipment Sdn Bhd v Liew Fook Chuan & Anor [1997]1 CLJ 665, Hakim Mahkamah Rayuan, Y.A. Gopal Sri Ram telah memutuskan seperti berikut:
"The fact that an employer has conducted a domestic inquiry against his workman is, in my judgement, an entirely irrelevant consideration to the issue whether the latter had been dismissed without just cause or excuse. The findings of a domestic inquiry are not binding upon the Industrial Court which rehears the matter afresh. However, it may take into account the fact that a domestic inquiry had been held when determining whether the particular workman was justify dismissed."
[14] Berpandukan otoriti-otoriti di atas, Mahkamah ini akan mendengar semula keterangan saksi-saksi kedua-dua belah pihak dan akan meneliti setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Pihak Menuntut. Dalam memutuskan sama ada Pihak Menuntut telah dibuang kerja dengan alasan yang adil atau bersebab, Mahkamah ini akan mengambilkira bahawa satu Siasatan Dalaman telahpun dijalankan. Disini Pihak Syarikat masih berpeluang untuk mengemukakan segala keterangan yang berkaitan bagi membuktikan kesnya di hadapan Mahkamah ini.
Pertuduhan Pertama
Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) lebih kurang jam 9.13 malam semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah gagal mematuhi "Passenger Service Machine" (Version 0.0147) Manual - mengurus tiket yang kekurangan tambang (error 77) apabila gagal menambah nilai token kurang tambang meskipun telah menerima bayaran RM1.20 sen daripada pelanggan bagi tujuan menambah nilai token tersebut. Anda juga telah sengaja membuka pintu automatik dari Pejabat Khidmat Pelanggan (PKP) untuk memberi laluan keluar kepada pelanggan tersebut (YM DIDAPATI BERSALAH OLEH AHLI PANEL).
[15] Bagi pertuduhan ini, Pihak Syarikat telah mengemukakan keterangan rakaman CCTV melalui COW1. Menurut COW1, pelanggan yang tidak cukup duit di dalam token hendaklah berjumpa CSA untuk bantuan. CSA akan ambil dan membaca token di mesin yang akan tunjuk berapa jumlah yang tidak cukup. Pelanggan diminta membayar jumlah tersebut yang akan dimasukkan ke dalam token oleh CSA. Kemudian token diberi semula kepada pelanggan untuk digunakan semasa keluar dengan memasukkan token ke dalam lubang pintu automatik dan pintu automatik akan terbuka. COW1 juga menyatakan CSA tidak boleh buka pintu automatik untuk pelanggan kecuali dalam kecemasan dan atas budibicara CSA sendiri.
[16] Disini Pihak Menuntut tidak menafikan yang dia menerima RM1.20 dari pelanggan bagi tujuan menambah nilai token yang kurang. Pihak Menuntut juga mengaku yang dia telah membuka pintu automatik untuk memberi laluan kepada pelanggan tersebut. Menurut Pihak Menuntut, dia bertindak sedemikian kerana token pelanggan tersebut tidak boleh 'repair'. Seterusnya Pihak Menuntut menjelaskan apabila dia cuba menambah RM1.20 didapati nilai tersebut tidak dapat ditambah kepada token. Oleh sebab itu dia telah membuka pintu automatik melalui Pejabat Khidmat Pelanggan bagi mengelakkan pelanggan tersebut menunggu lebih lama untuk keluar stesen. Duit RM1.20 telah diletak di dalam peti wang pusingan (floating fund).
[17] Pihak Menuntut dituduh gagal mematuhi 'passenger services machine manual'. Dimasa yang sama COW1 menyatakan tidak ada arahan spesifik kepada CSA untuk ikut prosedur di dalam manual tersebut. Malah CSA mempunyai budi bicara untuk membuka pintu automatik tersebut. Mahkamah mendapati bagi pertuduhan ini Pihak Menuntut sebenarnya mengaku menerima RM1.20 untuk tambah nilai token dan mengaku dia telah membuka pintu automatik untuk pelanggan keluar. Pihak Menuntut telahpun memberi penjelasan mengapa dia bertindak sedemikian. Justeru itu, Mahkamah mendapati Pihak Menuntut adalah bersalah kerana tidak mematuhi peraturan 'Passenger Serivices Machine Manual'. Penjelasan yang diberi oleh Pihak Menuntut seharusnya diberi perhatian semasa menjatuhkan hukuman.
Pertuduhan Ketiga
Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah bersubahat dengan Ahmad Termizi bin Omar (10004562) Afniza binti Roslan (100005417) melakukan pecah amanah apabila gagal mengisytihar penerimaan bayaran berjumlah RM2.40sen yang diterima daripada pelanggan bagi menjelaskan penalti untuk penyalahgunaan pas my rapid diakhir syif anda (YM DIDAPATI BERSALAH OLEH AHLI PANEL).
[18] Pihak Menuntut dituduh bersubahat dengan rakan sekerjanya Ahmad Termizi bin Omar dan Afniza binti Roslan melakukan pecah amanah kerana gagal mengisytiharkan penerimaan bayaran RM2.40 yang diterima dari penumpang. Keterangan CLW2 (Termizi) mengesahkan yang dia ada mengambil RM2.40 dari pelanggan dan ketika itu Pihak Menuntut ada bersamanya dalam kaunter dan tahu apa yang berlaku. Rujuk keterangan Pihak Menuntut (CLW1) semasa disoal balas berkaitan dengan isu ini. Mahkamah berpendapat hanya dengan kehadiran Pihak Menuntut di kaunter pada ketika itu tidak membuktikan dia bersubahat dengan Termizi dan Afniza. Ini disokong oleh keterangan Pihak Menuntut bahawa semasa penutupan jualan hari tersebut dia berada di Stesen Kelana Jaya bagi Clearance Train dan tidak bersama-sama dengan Ahmad Termizi dan Afniza yang membuat pengiraan di Stesen Abdullah Hukum. Semasa disoal balas Pihak Menuntut telah ditanya:
"S : Pada 20.5.2012, adakah awak lihat Termizi ambil duit dari pelanggan sebanyak RM2.40 dan tidak diisytiharkan dan diletak dalam floating fund.
J : Saya tak lihat dan tidak tahu."
[19] Persoalannya disini, adakah dengan kehadiran Pihak Menuntut di tempat kejadian menjadikan dia bersubahat dengan apa yang dilakukan oleh rakan sekerjanya. Kegagalan mengisytiharkan hanya diketahui diakhir syif mereka. Pihak Syarikat gagal membuktikan terdapat niat bersama dan perancangan Pihak Menuntut dengan rakan sekerjanya untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu, Mahkamah mendapati Pihak Menuntut tidak bersalah bagi pertuduhan ini.
Pertuduhan Keempat
Bahawa anda Mohd Husni Abdul Halim (10005187) pada 20 Mei 2012 (Ahad) semasa bertugas di Stesen Kelana Jaya telah bersubahat melakukan pecah amanah apabila gagal melaporkan salah laku Ahmad Termizi bin Omar (10004562) rakan sekerja anda yang menjual token secara tidak sah diakhir syif anda (YM MENGAKU BERSALAH)."
[20] Pertuduhan ini adalah berkaitan dengan kejadian yang sama dengan pertuduhan ketiga. Sekali lagi disini Pihak Menuntut dituduh telah bersubahat melakukan pecah amanah apabila gagal melaporkan salah laku rakan sekerjanya Ahmad Termizi Omar yang menjual token secara tidak sah diakhir syif. Tuduhan ini adalah berikutan dari aduan oleh pelanggan pada 21 Mei 2012 atas kejadian yang berlaku pada 20 Mei 2012. Rujuk surat aduan oleh Nick Lim di muka surat 38 dan 39, COB. COW1 telah membuat siasatan terhadap aduan tersebut. Hasil siasatan COW1 adalah seperti yang terdapat dalam laporan di muka surat 33 hingga 36, COB. Meneliti laporan ini, tidak dinyatakan dimana dan bagaimana Pihak Menuntut dikatakan telah bersubahat dengan Ahmad Termizi. Tidak ada keterangan dikemukakan yang membuktikan Pihak Menuntut mempunyai pengetahuan tentang apa yang dilakukan oleh Ahmad Termizi. Kegagalan Pihak Menuntut melaporkan salah laku Ahmad Termizi Omar tidak menjadikannya bersubahat dengan Termizi jika Pihak Menuntut tidak ada pengetahuan mengenainya. Jika diteliti keterangan Pihak Menuntut semasa disoal balas, dia hanya mengaku tidak melaporkan tetapi tidak mengaku dia bersubahat dengan Ahmad Termizi. Pihak Menuntut juga tidak setuju dengan cadangan Pihak Syarikat bahawa dia sebenarnya tahu Termizi ada mengambil RM2.40 dari pelanggan tetapi tidak melaporkan. Adalah juga keterangan Pihak Menuntut yang dia tidak melihat dan tidak tahu rakan sekerjanya Ahmad Termizi telah ambil RM2.40 dari pelanggan. Oleh itu tidak timbul isu Pihak Menuntut gagal melaporkan salah laku Ahmad Termizi. Dengan itu Mahkamah berpendapat Pihak Syarikat gagal membuktikan salah laku bagi pertuduhan ini.
[21] Selepas meneliti ketiga-tiga pertuduhan di atas dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi dari kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati Pihak Syarikat telah atas imbangan kebarangkalian membuktikan pertuduhan pertama terhadap Pihak Menuntut. Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Mahkamah mendapati telah gagal dibuktikan dan Pihak Menuntut didapati tidak bersalah.
[22] Di dalam kes Ireka Construction Berhad v Chantiravathan Subramaniam James [1995]2 ILR 11, telah diputuskan:
"It is a basic principle of industrial law jurisprudence that in dismissal case the employer must produce convincing evidence that the workman committed the offence or offences the workman is alleged to have committed for which he has been dismissed. The burden of proof lies on the employer to prove that he has just cause or excuse for taking the decision ti impose the disciplinary measures of dismissal upon the employees. The just cause must be either a misconduct, negligence or poor performance based on the facts of the case."
[23] Adalah satu prinsip undang-undang yang mantap iaitu beban pembuktian adalah terletak di atas bahu Pihak Syarikat untuk membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa Pihak Menuntut telah melakukan salah laku seperti yang dituduh dan salah laku tersebut mewajarkan kepada pembuangan kerja Pihak Menuntut.
[24] Di dalam kes ini, Mahkamah mendapati Pihak Syarikat hanya Berjaya membuktikan pertuduhan pertama terhadap Pihak Menuntut sementara pertuduhan ketiga dan keempat telah gagal dibuktikan. Persoalannya sekarang adakah dengan salah laku tersebut mewajarkan tindakan Syarikat memberhentikan Pihak Menuntut. Bagi memutuskan isu ini, Mahkamah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Norizan bin Bakar v Panzana Enterprise Sdn Bhd [2013]4 ILR di muka surat 496 yang menyatakan:
"Thus, in reference to the questions posted to us, we are of the view that the Industrial Court has the jurisdiction to decide that the dismissal of the Appellant was without just cause or excuse by using the doctrine of proportionality of punishment and also to decide whether the punishment of dismissal was too harsh in the circumstances when ascertaining the Award under s 20(3) of the IRA. We are further of the view that the Industrial Court in exercising the aforesaid functions can rely to its powers under s 30(5) of the IRA based on the principle of equity, good conscience and substantial merit of the case."
[25] Pihak Menuntut di dalam kes ini telah bekerja dengan Syarikat semenjak 10 Mac 2009. Dalam tempoh perkhidmatannya, tiada apa-apa keterangan dikemukakan tentang rekod perkhidmatan yang tidak memuaskan. Dalam lain perkataan Pihak Menuntut mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih. Disini Mahkamah berpendapat bagi salah laku yang dilakukan oleh Pihak Menuntut hukuman yang dikenakan oleh Syarikat adalah tidak wajar dan terlalu berat (harsh), tidak seimbang dengan salah laku yang dilakukan. Tambahan lagi Pihak Menuntut mengaku ada menerima RM1.20 dan juga mengaku telah membuka pintu automatic untuk membolehkan pelanggan keluar. Pihak Menuntut juga telah menjelaskan mengapa dia bertindak begitu. Oleh yang demikian Mahkamah mendapati pemberhentian kerja Pihak Menuntut adalah tanpa alasan yang adil atau bersebab.
Remedi
[26] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang termaktub bagi pembuangan kerja tanpa alasan adil atau bersebab, remedinya adalah perlantikan semula ke jawatan asal. Namun begitu, di dalam kes ini Mahkamah berpendapat perlantikan semula ke jawatan asal bukanlah remedi yang sesuai kerana Pihak Menuntut telah dibuang kerja lebih 3 tahun yang lalu dan hubungan baik antara kedua-dua pihak telah terjejas akibat dari kes ini. Oleh itu ganti rugi sebagai ganti pengembalian semula jawatan adalah dibenarkan iaitu satu bulan gaji untuk setiap tahun perkhidmatan. Gaji akhir Pihak Menuntut semasa diberhentikan adalah RM1,380.00 sebulan. Di dalam kes Koperasi Serbaguna Sanya Bhd (Sabah) v Dr James Alfred (Sabah) & Anor [2000]3 CLJ 758, Mahkamah Rayuan telah memutuskan di muka surat 766 seperti berikut:
"In Industrial law, the usual remedy for unjustified dismissal is an order of reinstatement. It is only in rare cases that reinstatement is refused. For example, as here, where the relationship between the parties has broken down so badly that it would not be conducive to industrial harmony to return the workman to his place of work. In such a case, the Industrial Court may award monetary compensation. Such an award is usually in two parts. First, there is usual award for the arrears of wages, or backwages, as it is sometimes called. It is to compensate the workman for the period that he has been unemployed because of the unjustified act of dismissal. Second, there is an award of compensation in lieu of reinstatement."
[27] Disini Pihak Menuntut layak untuk mendapat bayaran gaji kebelakangan (backwages) untuk tempoh maksima 24 bulan. Untuk itu Mahkamah perlu mengambilkira faktor-faktor salah laku sumbangan oleh Pihak Menuntut dimana jumlah gaji kebelakangan boleh dikurangkan. Di dalam kes ini jelas sekali Pihak Menuntut telah menyumbang kepada salah laku yang dipertuduhkan. Oleh itu Mahkamah memerintahkan potongan 30% dari jumlah gaji kebelakangan.
[28] Seterusnya Mahkamah juga mengambilkira faktor bahawa Pihak Menuntut telah pun mendapat pekerjaan lain selepas diberhentikan walaupun tidak ada keterangan dikemukakan. Rujuk kes DTS Trading Sdn Bhd v Wong Weng Kit [2008]1 ILR 548 yang memutuskan seperti berikut:
"In a society such an ours where a person would invariably have to work in order to sustain day living, the court is of the view that even if no evidence in adduced as regards post dismissal earnings, the court is entitled nevertheless to make a deduction for post dismissal earning. As such, a claimant who has not been gainfully employed since his dismissal or who has been gainfully employed but on a woefully small salary should clearly say so to the court. To remain silent is to risk the court making a deduction deemed reasonable by the court."
[29] Berpandukan otoriti di atas, Mahkamah ini memerintahkan potongan 20% dari gaji kebelakangan Pihak Menuntut adalah satu jumlah yang munasabah. Oleh itu jumlah potongan gaji kebelakang Pihak Menuntut adalah 50%.
Dengan ini Mahkamah memerintahkan remedi seperti berikut:
1. Gaji kebelakangan : RM1,380 x 24 bulan
= RM33,120.00
Tolak 50% potongan = RM16,560.00
Jumlah = RM16,560.00
2. Gantirugi sebagai ganti pengembalian
semula jawatan : RM1,380.00 x 3 bulan
= RM4,140.00
Jumlah keseluruhan = RM20,700.00
===========

Perintah
[30] Pihak Syarikat diperintahkan untuk membayar kepada Pihak Menuntut RM20,700.00 (setelah menolak potongan statutori jika ada) melalui Tetuan Arfaiza & Associates dalam masa 30 hari dari tarikh award ini.
DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH PADA 3 MAC 2016.
signed
ROSENANI BINTI ABD. RAHMAN
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR
Puan Nor Arfaiza binti Abd Halim Tetuan Arfaiza & Associates Peguam Pihak Menuntut
Encik Abdullah bin Abdul Karim Malaysian Employers Federation (MEF) Peguam Pihak Syarikat
Image result for mahkamah

No comments:

Post a Comment