Tuesday, March 22, 2016

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA:::Rujukan yang dibuat di bawah Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967


"Apa yang menarik di dalam kes ini ialah adakah pembuangan kerja Pihak Menuntut itu adakah atas alasan Pihak Menuntut tidak menghadiri kursus yang dianjurkan oleh syarikat pada 10.03.2014 dan 11.03.2014 atau kegagalan Pihak Menuntut menghadiri siasatan dalaman ke atasnya pada 17.03.2014 dan 19.03.2014? 

Jika diteliti kepada surat notis siasatan dalaman bertarikh 13.03.2014, ia adalah berkaitan ketidakhadiran kursus di ibu pejabat pada 10.03.2014. 

Sementara dalam notis penamatan perkhidmatan, pembuangan kerja disebabkan syarikat menganggap Pihak Menuntut tidak berminat untuk bekerja di syarikat kerana gagal hadir siasatan dalaman."
Image result for kehakiman

Mohd Ishak Bin Abdul Hamid v Zuri Services Sdn Bhd
Award No. 235 of 2016; Industrial Court
Date of Judgment: 07 March 2016 | Source: Industrial Court
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KES NO: 16/4-215/15
DI ANTARA
MOHD ISHAK BIN ABDUL HAMID
DAN
ZURI SERVICES SDN. BHD.
AWARD NO: 235 TAHUN 2016
Di Hadapan: Y. A. TUAN ROSLAN BIN MAT NOR - PENGERUSI
Tempat: Mahkamah Perusahaan Malaysia Cawangan Johor
Tarikh Rujukan: 11.03.2015.
Tarikh Sebutan: 11.05.2015; 05.07.2015; 08.09.2015.
Tarikh Perbicaraan: 23.06.2015; 29.09.2015; 08.11.2015.
Rujukan:
Ini adalah suatu rujukan yang dibuat di bawah Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang timbul dari pembuangan kerja Mohd Ishak bin Abdul Hamid (selepas ini disebut sebagai "Pihak Menuntut") oleh Zuri Services Sdn. Bhd. (selepas ini disebut sebagai "Pihak Responden") pada 21.03.2014. Kes ini telah dirujuk oleh Y. B. Menteri Sumber Manusia pada 11.03.2015 dan diterima oleh Mahkamah Perusahaan ini pada 24.03.2015.
AWARD
Fakta Kes
[1] Pihak Menuntut telah bekerja di syarikat Responden sebagai Field Visit Officer mulai 13.04.2013 dengan gaji RM1,000.00 sebulan. Pihak Menuntut telah ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta pada 21.03.2014. Pihak Responden telah mengesahkan Pihak Menuntut ke jawatan tetap mulai 01.07.2013.
[2] Notis penamatan perkhidmatan Pihak Menuntut bertarikh 21.03.2014 menyatakan bahawa Pihak Menuntut gagal menghadiri siasatan dalaman pada 17.03.2014 dan juga hadir ke siasatan dalaman pada 19.03.2014. Pihak Responden di dalam surat tersebut menjelaskan alasan penamatan kerja Pihak Menuntut seperti berikut :
" Oleh yang demikian, kami menganggap kamu tidak berminat untuk bekerja di syarikat ini dan dukacita dimaklumkan Pihak Syarikat terpaksa menamatkan perkhidmatan kamu di syarikat ini dengan serta-merta."
[3] Pihak Responden melalui surat bertarikh 13.03.2014 telah menetapkan siasatan dalaman diadakan terhadap Pihak Menuntut atas kesalahan seperti berikut :
Adalah kamu Mohd Ishak bin Abdul Hamid gagal untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Kuala Lumpur pada 10.03.2014 untuk latihan berkaitan dengan tugas.
KETERANGAN SYARIKAT
1.COW1 di dalam Pernyataan Saksi mengesahkan bahawa ibu pejabat syarikat di Kuala Lumpur telah mengadakan latihan kerja selama dua (2) hari iaitu pada 10.03.2014 dan 11.03.2014. Tujuan latihan itu adalah untuk meningkatkan prestasi kerja kakitangan.
2.COW1 menyatakan Pihak Menuntut telah bersetuju untuk menghadiri kursus tersebut dengan menandatangani memo syarikat yang dikeluarkan pada 27.02.2014. Pihak Menuntut dan pekerja lain tidak menghadiri kursus tersebut. Pihak Menuntut adalah pekerja di cawangan syarikat di Johor Bahru.
3.COW1 menyatakan bahawa beliau telah diberitahu oleh penyelia bahawa mereka tidak hadir kerana tidak cukup wang untuk datang ke Kuala Lumpur. Pihak Responden menurut COW1 telah memberitahu bahawa tambang bas boleh dituntut oleh pekerja yang menghadiri kursus tersebut apabila mereka sampai di Kuala Lumpur dengan disertakan tiket bas. Selain dari duit tambang, pihak pekerja yang menghadiri kursus itu akan disediakan asrama dan elaun makanan sebanyak RM20.00 sehari.
4.COW1 juga menyatakan bahawa pada 17.03.2014, Pihak Menuntut tidak hadir untuk siasatan dalaman. Oleh itu, Pihak Responden menunda siasatan dalaman kepada 19.03.2014. Pada 19.03.2014, syarikat menunggu Pihak Menuntut. COW1 telah menelefon Pihak Menuntut pada tarikh tersebut tetapi tiada jawapan.
[4] Semasa memberi keterangan di mahkamah, COW1 menyatakan bahawa Pihak Responden telah mengalami kerugian sebanyak RM5,000.00 kerana terpaksa membayar kepada syarikat pelatih. Ia tiada dalam pengetahuan Pihak Menuntut. COW1 menafikan dakwaan Pihak Menuntut semasa Pemeriksaan Balas bahawa COW1 tidak menelefon Pihak Menuntut. COW1 juga tidak bersetuju dengan cadangan Pihak Menuntut bahawa syarikat akan memberikan wang terlebih dahulu kepada pekerja mereka sebelum pekerja tersebut berhasrat untuk menghadiri kursus.
[5] COW2, merupakan Supervisor Field Visit cawangan Johor Bahru. COW2 menyatakan di dalam COWS-2 bahawa beliau ada menerima memo tiga (3) minggu sebelum latihan untuk menghadiri latihan oleh syarikat. Para pekerja tersebut menurut COW2 bersetuju untuk menghadirinya. Namun, tiada pekerja yang menghadiri kursus tersebut termasuk Pihak Menuntut. Alasan para pekerja itu tidak hadir ialah disebabkan mereka tidak mempunyai wang. COW2 menyatakan para pekerja telah diberitahu oleh pihak Sumber Manusia Syarikat bahawa mereka boleh menuntut bayaran tiket bas apabila sampai di ibu pejabat. COW2 menyatakan ada di antara pekerja itu yang memberitahunya beliau tidak dapat hadir kerana ahli keluarga sakit. Semasa Pemeriksaan Balas COW2 pada 17.03.2014, Pihak Menuntut ada hadir bekerja selama tiga (3) hari seterusnya dan tidak diberitahu sama ada Pihak Menuntut dibuang kerja atau sebaliknya. COW2 menafikan bahawa Pihak Menuntut memberitahunya bahawa beliau tiada wang untuk ke Kuala Lumpur.
[6] COW2 juga menyatakan jika Pihak Menuntut hadir pada siasatan dalaman yang dijalankan oleh syarikat, Pihak Menuntut mungkin akan dimaafkan. Di samping itu, sekiranya Pihak Menuntut hadir ke siasatan dalaman tersebut, bayaran kehadiran akan dibuat oleh syarikat kepada Pihak Menuntut.
KETERANGAN PIHAK MENUNTUT
[7] Pihak Menuntut dalam keterangan lisannya di mahkamah memohon supaya tuntutan ini dibenarkan. Pihak Menuntut tidak mempunyai pendapatan tetap selama setahun dan kini berpendapatan RM900.00 sebulan. Pihak Menuntut menyatakan beliau tidak hadir ke Kuala Lumpur untuk latihan disebabkan masalah kewangan.
[8] Pihak Menuntut setuju bahawa hadir dahulu kursus dan kemudian akan diberikan bayaran oleh syarikat. Pihak Menuntut juga menyatakan beliau tidak pergi ke siasatan dalaman kerana beliau tiada wang dan beliau tidak pergi ke siasatan dalaman kerana tidak dimaklumkan.
PENILAIAN KETERANGAN DAN UNDANG-UNDANG
[9] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap dan menjadi tugas Mahkamah Perusahaan ketika memutuskan kes-kes pembuangan kerja Pihak Menuntut sama ada terdapat salah laku yang dibuktikan tidak dilakukan dan adakah salah laku itu alasan yang wajar untuk pembuangan kerja Pihak Menuntut [Milan Auto Sdn. Bhd v. Wong Seh Yeh (1995) 4 CLJ 449]
[10] Apa yang menarik di dalam kes ini ialah adakah pembuangan kerja Pihak Menuntut itu adakah atas alasan Pihak Menuntut tidak menghadiri kursus yang dianjurkan oleh syarikat pada 10.03.2014 dan 11.03.2014 atau kegagalan Pihak Menuntut menghadiri siasatan dalaman ke atasnya pada 17.03.2014 dan 19.03.2014? Jika diteliti kepada surat notis siasatan dalaman bertarikh 13.03.2014, ia adalah berkaitan ketidakhadiran kursus di ibu pejabat pada 10.03.2014. Sementara dalam notis penamatan perkhidmatan, pembuangan kerja disebabkan syarikat menganggap Pihak Menuntut tidak berminat untuk bekerja di syarikat kerana gagal hadir siasatan dalaman.
[11] Adalah menjadi prinsip Undang-undang Perhubungan Perusahaan yang mantap bahawa seorang pekerja adalah berkewajipan untuk mematuhi segala arahan yang diberikan oleh majikan selagi ia tidak bercanggah dengan undang- undang atau kontrak perkhidmatan pekerja tersebut. Ia telah dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ngeow Voon Yean v. Sungei Wang Plaza Sdn. Bhd./ Landmarks Holding Bhd. (2006) 5 MLJ113.
[12] Di dalam kes ini, arahan Pihak Responden untuk menghadiri kursus di ibu pejabat pada 10.03.2014 dan 11.03.2014 adalah satu arahan yang sah dan Pihak Menuntut wajib mematuhinya. Ini ditambah pula, Pihak Responden telah menyatakan bahawa syarikat akan membayar kembali bayaran tiket bas di samping menyediakan asrama dan elaun makan kepada pekerja. Pihak Menuntut tidak menyanggah keterangan tersebut. Di samping itu, panggilan kepada Pihak Menuntut untuk menghadiri siasatan dalaman pada 17.03.2014 dan 19.03.2014 adalah sesuatu arahan yang sah. Walaupun Pihak Menuntut menyatakan bahawa beliau tidak dapat hadir pada 13.03.2014 kerana ketiadaan wang dan tidak mempunyai maklumat berkenaan siasatan dalaman pada 19.03.2014.
[13] Adalah jelas daripada keterangan Pihak Menuntut bahawa kekangan kewangan adalah merupakan alasan beliau tidak dapat hadir ke kursus yang dianjurkan oleh syarikat dan siasatan dalaman yang dijalankan. Pada kaca mata syarikat, alasan tersebut tidak dapat diterima disebabkan oleh syarikat telah menyediakan mekanisme untuk syarikat membuat pembayaran kembali tiket dan bayaran kepada kehadiran Pihak Menuntut ke siasatan dalaman.
[14] Selain daripada itu, mahkamah juga mendapati tiada keterangan yang dikemukakan bahawa panel siasatan dalaman telah mendapati Pihak Menuntut bersalah di atas pertuduhan yang dinyatakan di dalam notis siasatan dalaman. Ini bermakna Pihak Menuntut tidak pernah didapati bersalah terhadap pertuduhan di dalam notis siasatan dalaman. Sebaliknya, asas kepada pembuangan kerja adalah ketidakhadiran Pihak Menuntut semasa siasatan dalaman. Pihak Menuntut juga tidak pernah dikemukakan surat tunjuk sebab atau pertuduhan berkenaan ketidakhadiran beliau semasa siasatan dalaman.
[15] Oleh itu, mahkamah berpendapat bahawa Pihak Menuntut tidak pernah didapati bersalah di atas pertuduhan yang dinyatakan di dalam surat panggilan siasatan5 dalaman. Pada hemat mahkamah, adalah wajar untuk panel siasatan membuat dapatan berkenaan pertuduhan tersebut walaupun Pihak Menuntut tidak hadir semasa siasatan dalaman tersebut.
[16] Dalam kes ini, mahkamah mengambil kira seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan tidak perlu mengambil kira aspek-aspek teknikal dalam penurunan Award. Namun ia tidak menolak kesalahan Pihak Menuntut tidak didapati oleh panel siasatan dalaman terhadap tuduhan di dalam notis siasatan dalaman.
[17] Bagaimanapun, mahkamah perlu meneliti keterangan yang menunjukkan bahawa Pihak Menuntut telah tidak hadir ke siasatan dalaman pada 17.03.2014 dan 19.03.2014. Pihak Menuntut tidak dapat mengemukakan keterangan atau saksi bagi menyanggah keterangan COW1 bahawa beliau telah menghubungi Pihak Menuntut melalui panggilan telefon pada 19.03.2014. Hakikatnya, Pihak Menuntut tidak hadir ke siasatan dalaman atau menghubungi syarikat memaklumkan berkenaan ketidakhadirannya pada 17.03.2014 untuk siasatan dalaman.
[18] Mahkamah berpendapat sebagai seorang majikan yang munasabah, Pihak Responden tidak dinafikan dapat meneruskan perkhidmatan Pihak Menuntut dengan syarikat berdasarkan tindak tanduk Pihak Menuntut di dalam kes ini. Pada masa yang sama, mahkamah juga menimbangkan alasan Pihak Menuntut bahawa kekangan kewangan menyebabkan Pihak Menuntut tidak menghadiri siasatan dalaman tersebut. Namun, tiada keterangan yang dikemukakan untuk menunjukkan tindakan Pihak Menuntut mengatasi masalah tersebut dengan berbincang dengan syarikat bagi membolehkan Pihak Menuntut hadir ke siasatan dalaman tersebut.
[19] Akhirnya setelah meneliti keterangan, eksibit-eksibit dan hujah-hujah, pihak mahkamah berpendapat pembuangan kerja Pihak Menuntut adalah adil dan beralasan. Kes Pihak Menuntut ditolak.
DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH 07HB. MAC 2016.
t.t
ROSLAN BIN MAT NOR
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
CAWANGAN JOHOR
Pihak Menuntut hadir.
Puan Rachel Vanuja Suppiah Dari Tetuan Lam Wai Tze & Co. Peguambela Pihak Responden.

sumber:::http://www.mltic.my

No comments:

Post a Comment