Tuesday, August 30, 2016

Malaysian Law 65055 AWARD 23706 ROHM – WAKO ELECTRONICS (MALAYSIA) SDN. BHD.

RUJUKAN:

Ini ialah rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967,

 mengenai pembuangan kerja

Encik Mohd Khairuddin Bin Omar (selepas ini disebut sebagai “Penuntut Pertama”)
Encik Mohamad Zoha Bin Mat Daud (selepas ini disebut sebagai “Penuntut Kedua”),
Encik Mohd Zulkifli Bin Mat (selepas ini disebut sebagai “Penuntut Ketiga”)
Puan Siti Nor Fitriyani Binti Mohd Razali (selepas ini disebut sebagai “Penuntut Keempat”)

(disatukan melalui Perintah Mahkamah bertarikh 09.04.2014) oleh ROHMWako Electronics (M) Sdn. Bhd (selepas ini disebut sebagai “Pihak Syarikat”)

AWARD


1. Kes ini berpunca dari masalah pembayaran gaji dan kerja lebih masa pekerja pada Januari 2012 akibat dari pertukaran sistem komputer Syarikat yang menyebabkan banyak berlaku kesilapan seperti pengurangan dan lebihan dalam bayaran gaji dan kerja lebih masa mengakibatkan ramai pekerja tidak berpuas hati.

Pihak Syarikat telah menerangkan kepada pekerja mengenai masalah yang dihadapi sepertimana di mukasurat 36 COB-2.

2. Pada 03.03.2012 COW-5 Pengurus Besar bahagian wireless diode telah menerima surat layang dari pekerja bahagiannya menyatakan bahawa pekerja lain akan

 “pakat cuti”

 kerana Syarikat dikatakan “menipu pekerja pasal gaji dan lain”.

Kemudian pada 05.03.2012 terdapat banyak surat yang ditampal dimerata tempat dalam Syarikat yang mengajak semua pekerja berhimpun di hadapan pintu pagar utama untuk menyatakan bantahan kepada Syarikat atas beberapa perkara seperti yang dinyatakan.

Surat itu adalah seperti dikemukakan di mukasurat 16 sehingga 18 COB-2.

3. Pada waktu rehat tengah hari 05.03.2012, Presiden Syarikat bersama dengan pihak pengurusan telah membuat perjumpaan dengan semua shift/line leader supaya memberitahu anak buah mereka jangan mogok.

Presiden Syarikat juga bertanya jika ada sebarang kemusykilan boleh bertanya kepada beliau secara terus tetapi tiada sesiapa bertanya apa-apa.

4. Seterusnya pada pukul 6.00 petang 05.03.2012 mesin di Bahagian Pengeluaran iaitu untuk First process, Second process dan Final process terhenti kerana tiada pekerja di bahagian tersebut.

Menurut saksi-saksi Syarikat, seramai 40 orang pekerja Syarikat di bahagian tersebut telah tidak hadir bertugas selepas pukul 5.30 petang dimana mereka sepatutnya bekerja sehingga 8.05 malam.

Menurut COW-5, akibat dari pemberhentian mesin pengeluaran, produk yang separuh siap terpaksa dibuang dan mengakibatkan Syarikat kerugian melebihi RM100,000.00.

5. Keesokan harinya, pekerja yang pulang awal pada pukul 5.30 petang hari sebelumnya telah hadir bekerja dan mereka dikumpulkan dan diminta memberi penjelasan.

Selepas penjelasan diberikan oleh pekera-pekerja tersebut, seramai 10 orang telah dikenakan tindakan buang kerja termasuk 4 Penuntut dalam kes ini.

6. Penuntut kedua Mohamad Zoha dan Penuntut ketiga Mohd Zulkifli adalah Juruteknik di Bahagian Pengeluaran sementara Penuntut pertama Mohd Khairudin dan Penuntut keempat Siti Nor Fitriyani adalah operator mesin. Mohd Khairuddin adalah juga seorang Line leader.

 7. Kesemua Penuntut telah dibuang kerja dengan alasan

 “menghasut pekerja lain untuk melakukan mogok secara beramai-ramai dengan meninggalkan tempat kerja pada pukul 5.30 petang pada 05.03.2012 tanpa melengkapkan kerja shift (sehingga 8.05 malam) dengan tujuan untuk memberi tekanan kepada pihak Syarikat,

dengan tiada kelulusan dari pihak Syarikat.

Yang telah menyebabkan Syarikat terpaksa menanggung kerugian besar”. Penuntut-Penuntut telah digantung kerja bermula pada 15.03.2012 dan seterusnya diberhentikan berkuatkuasa pada 20.03.2012 atau 21.03.2012.

8. Sebelum diberhentikan mereka telah diberikan surat tunjuk sebab untuk menjawab dakwaan yang menyatakan mereka telah “meninggalkan tempat kerja secara beramai-ramai tanpa kebenaran pada 05.03.2012 pada jam 5.30 petang dan mengakibatkan mesin-mesin tiada pengawasan”.

Tiada inkuiri dalaman diadakan dalam kes ini.

9. Penuntut-Penuntut tidak menafikan bahawa mereka telah tidak meneruskan tugas selepas pukul 5.30 petang pada hari berkenaan tetapi menyatakan bahawa waktu bertugas hanya setakat pukul 5.00 petang.

Selepas pukul 5.30 petang adalah kerja lebih masa dan setiap seorang memberikan alasan tersendiri mengapa tidak membuat kerja lebih masa pada hari tersebut.

Mereka berkata bahawa shift mereka selesai selepas pukul 5.30 petang dan tiada arahan untuk kerja lebih masa. Mereka semua juga menafikan bahawa mereka ada menghasut pekerja lain untuk mogok beramai-ramai dengan meninggalkan tempat kerja.

10.Penuntut Pertama (CLW-1) Mohd Khairuddin dalam kenyataan saksinya tidak memberikan apa-apa alasan kenapa pulang awal pada pukul 5.30 petang pada hari berkenaan. Tetapi dalam jawapan kepada surat tunjuk sebab iaitu dalam COB-1 mukasurat 35 beliau menyatakan bahawa beliau pulang jam 5.30 untuk bermain futsal.

Beliau juga menyatakan perkara sama semasa keterangan lisan di Mahkamah dan juga berkata beliau telah beritahu Shift Leader tapi tidak pada Controller. Penuntut Pertama juga berkata tiada arahan untuk beliau membuat kerja lebih masa pada hari itu. CLW-1 mengakui dalam soal balas beliau ada berkata ‘hari ini kat pukul 5.30 belaka’ tapi beliau berkata beliau hanya merujuk kepada diri beliau seorang.

11.Penuntut Kedua (CLW-2) Mohamad Zoha berkata bahawa beliau telah pulang pada pukul 5.30 petang 05.03.2012 kerana telah mengalami sakit mata yang dimasuki habuk ketika beliau membaiki mesin tablet sebelum itu. Beliau berkata beliau telah pergi klinik selepas itu tetapi klinik tutup lalu beliau pergi keesokan harinya dan diberi MC pada 06.03.2016.

Walau bagaimanapun surat dari Klinik Fatah di mana Penuntut dapat MC, kepada Syarikat di mukasurat 1 COB-1 menyatakan bahawa CLW-2 telah 5 kali datang mendapatkan rawatan untuk sakit mata sejak tahun 2009 kerana disebabkan oleh allergy dan tidak semestinya dari tempat kerja.

12.Penuntut Ketiga (CLW-3) Mohd Zulkifli tidak memberikan apa-apa alasan untuk pulang pukul 5.30 petang pada hari berkenaan. Dia cuma berkata dalam soal balas bahawa dia telah memberitahu rakan sekerja bernama Ismail Abdullah bahawa dia akan pulang pukul 5.30 petang dan meminta Ismail untuk menjaga mesin beliau (CLW-3) jika berlaku kerosakan. Dalam surat jawapan tunjuk sebab CLW-3 berkata bahawa beliau pulang pada 5.30 petang kerana ada urusan peribadi.

13.Penuntut Keempat (CLW-4) Siti Nor Fitriyani juga tidak ada memberikan apaapa alasan untuk pulang pukul 5.30 petang hari tersebut dalam kenyataan saksi, tapi dalam keterangan lisan beliau menyatakan bahawa waktu kerja beliau adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang kerana beliau tidak buat kerja lebih masa pada hari tersebut. Dalam jawapan kepada surat tunjuk sebab dan juga semasa soal balas CLW-3 berkata beliau pulang awal kerana sakit gigi.

 14.Secara ringkasnya, Penuntut-Penuntut dalam kes ini adalah didakwa telah melakukan salahlaku menghasut pekerja lain dan meninggalkan tempat kerja sebelum melengkapkan kerja shift.

15.Persoalan pertama dalam kes ini adakah keempat Penuntut ini telah meninggalkan tempat kerja tanpa melengkapkan shift kerja seperti yang didakwa Syarikat atau mereka telah melengkapkan shift kerja cuma tidak melakukan kerja lebih masa.

Keduanya, adakah mereka telah menghasut pekerja lain untuk sama meninggalkan tempat kerja beramai-ramai tanpa melengkapkan shift kerja.

Atas imbangan kebarangkalian,

Mahkamah ini mendapati bahawa kesemua Penuntut memang dengan sengaja meninggalkan tempat kerja secara beramai-ramai tanpa melengkapkan shift.

Tapi persoalan seterusnya adakah mereka juga menghasut pekerja lain untuk melakukan mogok iaitu menghasut pekerja lain untuk melakukan sepertimana yang telah mereka lakukan.

Perlu ditegaskan di sini, seperti yang telah diputuskan oleh kes-kes terdahulu yang menjadi otoriti, bahawa Syarikat perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai sebab dan alasan yang adil bagi menyokong tindakan Syarikat menamatkan perkhidmatan pekerja mereka.

Bagi kes salahlaku,

 beban adalah atas Syarikat untuk membuktikan bahawa pekerja telah melakukan salahlaku seperti yang didakwa oleh Syarikat dan seterusnya hukuman pembuangan kerja yang telah dikenakan adalah wajar.

Memang benar meninggalkan tempat kerja dalam waktu kerja tanpa kebenaran itu adalah satu salahlaku tetapi dalam kes ini pertuduhan oleh Syarikat adalah bukan sahaja meninggalkan tempat kerja tanpa melengkapkan shift tetapi juga dikatakan telah menghasut pekerja lain untuk mogok secara beramai-ramai dengan meninggalkan tempat kerja pada tarikh dan waktu yang dinyatakan sebagai alasan untuk penamatan perkhidmatan,

sepertimana dalam surat penamatan perkhidmatan.

Persoalannya adakah terdapat bukti-bukti bahawa Penuntut-Penuntut dalam kes ini telah menghasut pekerja lain untuk mogok seperti yang dinyatakan.

Dalam kes ini menghasut pekerja lain untuk mogok adalah satu elemen penting dalam pertuduhan yang membawa kepada penamatan perkhidmatan.

Ini adalah kerana dari 40 orang yang telah meninggalkan kerja tanpa melengkapkan shift,

hanya 10 orang diberhentikan kerja termasuk keempat Penuntut dalam kes ini, sementara yang lain hanya diberi amaran.

Berdasarkan kepada alasan seperti yang disebutkan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Syarikat telah membuktikan bahawa hanya Penuntut pertama Mohd Khairuddin Bin Omar telah ditamatkan perkhidmatan dengan sebab dan alasan yang adil sementara bagi Penuntut-Penuntut yang lain Syarikat gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa mereka telah melakukan salahlaku sebagaimana didakwa dalam surat penamatan perkhidmatan.

Sebagai remedi

 bagi Penuntut kedua, ketiga dan keempat mereka tidak lagi sesuai dikembalikan ke pekerjaan masing-masing memandangkan kepada tempoh masa yang telah berlalu dan juga kehilangan kepercayaan Syarikat atas mereka akibat apa yang telah berlaku.

Oleh itu, mereka layak mendapat pampasan sebulan gaji untuk setiap tahun bekerja dan gaji kebelakang. Namun begitu mereka juga ada menyumbang kepada tindakan yang telah diambil atas mereka iaitu dengan balik awal sebelum melengkapkan kerja shift mereka seperti yang telah dibincangkan di atas. Oleh itu, sebahagian dari gaji ke belakang akan ditolak.

Bagi Penuntut Kedua Mohd Zoha Bin Daud, beliau adalah seorang juruteknik yang telah berkhidmat sejak 19.06.2008 sehingga diberhentikan pada 21.03.2012, iaitu bekerja selama lebih kurang 3 tahun 9 bulan. Gaji terakhir adalah RM1,441.00 sebulan.

Ini bermakna Penuntut kedua layak menerima sebulan gaji untuk setiap tahun bekerja iaitu RM1,441.00x3=RM4,323.00 untuk 3 tahun dan RM1,080.00 untuk 9 bulan menjadikan RM4,323.00+RM1,080.00=RM5,403.00

sebagai pampasan menggantikan pengembalian pekerjaan. Untuk gaji kebelakang Penuntut kedua hanya diberikan 14 bulan gaji belakang dari jumlah maksima 24 bulan oleh kerana sumbangan Penuntut kedua sendiri yang membawa kepada tindakan atas dirinya sendiri.

Jadi jumlah gaji kebelakang adalah RM20,174.00 menjadikan keseluruhan jumlah Syarikat perlu bayar kepada Penuntut kedua adalah RM20,174.00+RM5,403.00=RM25,577.00

.Penuntut ketiga Mohd Zulkifli Bin Mat pula mula bekerja sebagai juruteknik pada 07.09.2009 sehingga diberhentikan pada 20.03.2012. Gaji terakhir beliau adalah RM1,436.00 sebulan. Penuntut ketiga juga diberikan pampasan menggantikan pengembalian kerja iaitu sebulan gaji untuk setiap tahun bekerja. Jumlah pampasan adalah RM1,436.00x2=RM2,872.00 untuk 2 tahun dan RM718.00 untuk 6 bulan menjadikan RM2,872.00+RM718.00=RM3,594.00 sebagai pampasan.

Selain dari itu Penuntut ketiga juga diberi gaji kebelakang 14 bulan atas alasan sama dan jumlah gaji kebelakang adalah RM1,436.00x14=RM20,104.00 menjadikan jumlah keseluruhan Syarikat perlu bayar kepada Penuntut ketiga adalah RM20,104.00+RM3,594.00=RM23,698.00.

.Bagi Penuntut keempat Siti Nor Fitriyani Binti Mohd Razali, mula bekerja sebagai operator dengan Syarikat sejak 01.11.2008 sehingga diberhentikan pada 21.03.2012. Gaji terakhir beliau adalah RM614.00 sebulan. Pampasan bagi menggantikan pengembalian kerja adalah RM614x3=RM1,842.00 untuk 3 tahun dan RM205.00 untuk 4 bulan gaji menjadikan jumlah RM1,842.00+RM205.00=RM2,047.00 sebagai pampasan menggantikan pengembalian pekerjaan. Penuntut keempat juga diberikan gaji kebelakang sebanyak 14 bulan sahaja setelah mengambil kira sumbangan beliau sendiri terhadap tindakan yang diambil atas dirinya, jumlah keseluruhan adalah RM614.00x14=RM8,596.00.

Jadi jumlah keseluruhan Syarikat perlu bayar kepada Penuntut keempat adalah RM8,596.00+RM2,047.00=RM10,643.00.

LAPORAN LENGKAP DIBAWAH >>>

Image result for mahkamah perusahaan

No comments:

Post a Comment